Khamis, 12 April 2012

Isu PTPTN: Pendidikan percuma penting, kata Anwar

RISWANDI RAZAK

Anwar Ibrahim
SHAH ALAM - Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Pakatan Rakyat (PR) berjanji untuk melaksanakan pendidikan percuma, bukan sahaja usaha memansuhkan pinjaman PTPTN.

Menurutnya, PR mempunyai cara untuk melaksanakan pemansuhan pinjaman PTPTN dengan menggunakan dana RM70 bilion hasil Petronas.

Beliau berkata, selain itu, jumlah penjimatan menerusi usaha mengawal gejala rasuah juga dapat menyumbang kepada pemansuhan pinjaman mahasiswa.

Anwar turut mencadangkan satu rundingan berhubung subsidi RM20 bilion kepada Syarikat Penjana Tenaga Bebas (IPP) dilakukan kerana kadar tersebut terlalu tinggi dan tidak wajar diamalkan.

"PTPTN ini bukan isunya, tetapi isu pendidikan percuma kepada rakyat adalah lebih penting untuk dilaksanakan.

"Ramai yang kata Anwar boleh janji macam-macam, tetapi janji saya pasti akan dikotakan, termasuk janji menurunkan harga minyak 24 jam selepas kita memerintah," katanya di sini semalam.

Beliau berucap pada program pidato pendidikan percuma di Seksyen 7 di sini.

Hadir sama, Ahli Parlimen Bukit Gantang Datuk Seri Nizar Jamaluddin dan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau berkata, pemansuhan PTPTN boleh dilakukan dengan mengadakan perbincangan bersama pihak bank yang terlibat dan membayar secara berperingkat jumlah tunggakan pinjaman terbabit.

"Kita bukannya akan terus bayar RM43 bilion kepada bank, sebaik sahaja menang di Putrajaya, kita bincanglah dengan pihak bank, berapa tunggakkan satu tahun, kita bayar RM5 bilion setahun," katanya.

Tiada ulasan: