Aslani M, | |
KOTA BHARU: Veteran-veteran PAS di Kelantan melahirkan komitmen terhadap kemampuan parti itu mempertahankan negeri ini pada pilihan raya umum ke-13, meneruskan kesinambungan sejak 1990.
Faktor dirumuskan mereka apabila kekuatan dalaman mantap dan tidak berlaku perpecahan seperti pernah berlaku pada 1978.
Yang Dipertua PAS Bachok, Datuk Omar Mohamad berkata, kekalahan yang berlaku pada 1978 kerana faktor perpecahan dalaman sehingga lahirnya Berjasa, menjadi duri dalam daging.
“Berjasa ditaja Umno untuk bertanding berdepan PAS dengan harapan dapat memecah undi PAS. Berlaku pertembungan tiga penjuru sehingga memberi kemenangan kepada Umno dan BN,” katanya pada seminar 3 Dekad Kebangkitan PAS Kelantan di Pondok Pasir Tumbuh di sini, petang ini.
Kertas kerja yang dibentangnya bertajuk ‘Kebangkitan Sokongan Rakyat Mendepani Cabaran Umno dari tahun 1982-1990’ . Kertas kerja itu kemudian diulas bekas wakil rakyat PAS pada 1974, Hashim Omar.
Hashim juga melahirkan keyakinan PAS akan tetap utuh di Kelantan bagi mempertahankan kerajaan sekiranya tidak wujud masalah dalaman parti.
Mengimbau perpecahan dalaman yang berlaku pada 1970-an katanya, Umno secara terang-terangan menaja Berjasa yang ditubuh Datuk Mohamad Nasir untuk berdepan dengan PAS pada pilihan raya 1978.
Katanya pada pilihan raya tersebut sebanyak 11 kerusi Berjasa bertanding melawan PAS sehingga mewujudkan pertandingan tiga penjuru, yang membawa kemenangan kepada Umno pada 1978.
“Kalau berjasa tidak masuk pecahkan undi, kita yakin boleh menang kerusi tersebut. Umno satu lawan satu dengan PAS di 9 kerusi. BN juga taja kerusi bebas di Tok Uban.
Biar pun BN melakukan banyak strategi bagi melemahkan PAS, namun PAS masih lagi dapat bangkit. Sepatutnya dengan taktik tersebut PAS sudah kalah teruk di Kelantan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan