Rabu, 22 Februari 2012

Tenaganita selar program 6P penuh rasuah

Harakahdaily,

KUALA LUMPUR: Tenaganita hari ini menyelar proses pemutihan Program Penyelesaian Menyeluruh Pendatang Asing Tanpa Izin (Program 6P) kerajaan yang terbukti gagal menyelesaikan masalah lambakan warga asing di Malaysia.

Presiden Tenaganita Irene Fernandez (gambar) berkata program 6P itu memang dijangka gagal, kerana dengan pendaftaran 1.3 juta warga asing tanpa izin, hanya 300,000 sahaja yang mendapat permit kerja.

Manakala bagi sejuta lagi, kata Fernandez, mereka tidak mempunyai permit atau Jabatan Imigresen tidak meluluskan pemberian permit kepada mereka.

“…melalui sistem yang dipacu oleh rasuah oleh agen-agen dan majikan, institusi perdagangan tenaga kerja melalui budaya outsourcing dan penipuan berleluasa oleh agen pekerjaaan, realitinya 80 peratus pendatang izin tidak didokumenkan di Malaysia,” kata beliau.

Selain itu, kata Fernandez golongan pelarian turut terkesan dalam program 6P ini kerana kerajaan masih tidak mengiktiraf Konvensyen Pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), yang menyebabkan golongan ini tidak dilindungi daripada layanan buruk.

“Tanpa satu rangka undang-undang untuk mengiktiraf dan melindungi pelarian menyebabkan mereka tidak didokumenkan. Tanpa undang-undang untuk melindungi golongan ini, pelarian yang tidak berdaftar dengan UNHCR akan digolongkan sebagai penjenayah yang melanggar undang-undang imigresen,” tambah beliau.

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Tan Sri Mahmood Adam berkata proses pemutihan yang mula dilaksanakan secara pentadbiran sejak 11 Januari lalu sepatutnya berakhir esok, akan dilanjutkan sehingga 10 April.

"Kerajaan membuat keputusan itu selepas menimbang permohonan majikan, persatuan serta kumpulan peniaga kecil untuk membolehkan mereka menyediakan dokumen diperlukan, khususnya passport perjalanan pekerja asing tanpa izin yang diproses di pejabat kedutaan negara masing-masing," katanya.

Operasi penguatkuasaan besar-besaran akan digerakkan di seluruh negara sebaik tamat tempoh nanti di mana pekerja asing yang tidak diputihkan akan dihantar pulang, tambah Mahmood.

Difahamkan sehingga semalam, sejumlah 379,020 pendatang tanpa izin membabitkan 33,053 majikan telah diputih dan diampunkan, termasuk 94,856 yang telah pulang ke negara masing-masing.

Fernandez menyeru Kementerian Dalam Negeri untuk menghentikan operasi penangkapan pendatang tanpa asing dan pelarian tanpa dokumen kerana ia telah menyebabkan wujudnya suasana ketakutan dan tegang dalam komuniti pelarian dan pendatang tanpa izin.

“Mereka tidak tahu mengapa mereka ditahan, tiada ketelusan dalam jumlah yang ditahan dan kita juga tidak tahu di mana mereka ditahan. Kementerian Dalam Negeri pula tidak ke depan untuk menjawab warganegara yang telah dihantar pulang atau sedia dihantar pulang.

"Kami menerima laporan yang tidak sahih bahawa ada yang ditahan adalah warganegara dari Myanmar, Sri Lanka, Afghanistan, Lebanan dan Kashmir, sekarang di KLIA depot, adakah mereka ini pelarian sebenar yang ingin dihantar balik?” soal beliau.

Fernandez menyoal keperluan untuk menahan dan menangkap mereka yang terbabit sekarang kerana proses pemutihan masih berjalan.

“Menteri Dalam Negeri seolah-olah dalam keadaan melumpuhkan diri sendiri dalam isu akauntabiliti dalam menangani isu rasuah dalam sistem pendatang asing.

"Kerajaan seolah-olah berpuas hati untuk meneruskan sistem yang opresif dan dipenuhi rasuah ini yang senantiasa meragut keuntungan daripada yang miskin dan tidak bermaya,” selar Fernandez.

Tenaganita, bersama-sama dengan beberapa NGO hak asasi manusia termasuk Suaram mendesak kerajaan untuk mewujudkan satu undang-undang yang membolehkan pengiktirafan diberikan kepada hak-hak orang pelarian.

Mereka juga menuntut agar kerajaan menetapkan satu polisi jelas untuk pekerjaan, penempatan dan penggajian untuk pendatang asing dan pelarian.

11 ulasan:

Anak Sabah berkata...

Sesuatu undang-undang yang boleh mengiktirafkan hak pelarian perlulah dilaksanakan kerana pelarian juga mempunyai hak kemanusiaan.

Anak Sabah berkata...

Harap kerajaan akan menetapkan polisi yang jelas untuk pekerjaan, penempatan dan penggajian untuk pendatang asing dan pelarian.

Tanpa Nama berkata...

kita harus memberi sokongan kepada program 6P. ia adalah usaha dalam banteras PATI.

TuhauBam berkata...

Yang tiada permit tu pergi balik ke negar asal masing2.

kamilla berkata...

Yang tiada permit harus segera di hantar balik.

kamilla berkata...

Program 6P antara cara yang bijak untuk mengatasi masalah Pati ini, sama2 lah kita menyokong program ini.

Tanpa Nama berkata...

kenapa persoalkan penahanan dan penghantaran pendatang asing?? adakah Tenaganita mahu membela nasib mereka?? bolehkah Tenaganita membuktikan bahawa terdapat unsur2 rasuah dalam perogram 6P ini??

Tanpa Nama berkata...

cakap panjang lebar tapi isi pun tidak ada..

Unknown berkata...

Sekarang ini hanya usaha kerajaan itu saja yang dapat membuktikan adakah serius atau tidak menangani isu ini. Jika tidak mungkin perkara ini tidak akan dapat diselesaikan sampai bila-bila.

Tanpa Nama berkata...

Isu PATI ini memang rumit dan mustahil untuk diselesaikan 100%.

Tanpa Nama berkata...

Seharusnya langkah mencegah kemasukan PATI ini diambil dari awal sebelum masalah ini menjadi kronik.