Isnin, 13 Februari 2012

Tanah adat: Kenapa perlu rampas hak anak Sabah?

Mohd Firdaus,

KOTA KINABALU: Pemuda PAS Sabah hari ini melahirkan rasa terkejut dan kekesalan terhadap kenyataan Peguam Negeri Sabah, Datuk Roderic Fernandez yang jelas bercanggah dengan Ordinan Tanah Sabah (OTS) berkaitan hak asasi anak negeri ke atas pemilikan tanah di Sabah.

Ketua Penerangannya, Mohd Julpikar Abd Mijan (gambar) menyifatkan tafsiran yang dibuat oleh Peguam Negeri Sabah berhubung tuntutan hak asasi oleh Anak Negeri Sabah selepas 1930 sebagai tidak sah, adalah tindakan menghina keputusan-keputusan mahkamah sebelum ini yang mana telah mengiktiraf wujudnya hak asasi Anak Negeri walaupun selepas 1930.

“Kita amat kesal dengan kenyataan Peguam Negeri Sabah ini. Ini bakal menjerumuskan kesulitan anak Sabah mengenai pemilikan tanah dibawah undang-undang yang sedia ada,” ujarnya.

Menurutnya, PAS cukup sangsi dengan keupayaan beliau sehingga sanggup mengeluarkan kenyataan yang boleh menimbulkan kemarahan Anak Negeri Sabah.

“Isu ini bukan perkara yang sepatutnya dibuat main-main oleh kerajaan. Ianya perlu dibawa ke muka pengadilan yang seadilnya bagi memastikan tanggungjawab kerajaan mempertahankan hak Anak Negeri Sabah tidak terabai dan dipandang rendah,” jelasnya.

PAS juga berpendirian bahawa, hak asasi Anak Negeri Sabah mesti dipertahankan dan meminta mana-mana pihak yang merampas tanah-tanah adat negeri sama ada melalui pemalsuan dokumen dan identiti diri dapat memulangkan semula hak anak negeri tersebut kepada pemiliknya.

“Hak Anak Negeri Sabah perlu dipertahankan dengan sebaik mungkin. Ini hak kita, ini tanah kita... kenapa perlu mereka merampas hak kita?

“Di mana suara pemimpin-pemimpin kerajaan kita... yang selama ini merekalah mendabik dada memperjuangkan hak. Di mana mereka ketika ini?

“Anak-anak Negeri Sabah hidup dibelenggu ketakutan dan ancaman,” jelas Julpikar.

Tiada ulasan: