Aziz Muda, | |
HULU SELANGOR: Kalangan ibu bapa di kawasan ini melahirkan rasa hairan dengan tindakan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengadakan lawatan ke sekolah-sekolah di kawasan Hulu Selangor sekarang.
Lebih menghairankan mereka apabila lawatan tersebut bukan hanya melibatkan sebuah sekolah, tetapi kesemua sekolah di kawasan itu, pada hal tindakan seperti itu tidak pernah dilakukannya sebelum ini.
Selain itu, mereka juga tertanya-tanya dengan motif pertemuan tersebut apabila ia turut disusuli dengan pemberian wang sumbangan dari pihak Umno sebanyak RM3,000 bagi setiap Persatuan Ibu Bapa dan Guru-Guru (PIBG) di kawasan itu.
Seorang penduduk di kawasan itu, Johari Abdul Rahman, 42, berkata, program lawatan Muhyiddin ke sekolah-sekolah di Hulu Selangor itu diyakini mempunyai muslihat tertentu bagi kepentingan politik Umno BN.
"Tindakan tersebut hanyalah untuk mengelabui mata orang ramai kononnya atas kepentingan pelajaran sejajar dengan kedudukan Muhyiddin yang juga selaku Menteri Pelajaran," katanya ketika ditemui Harakahdaily, di sini, hari ini.
Timbalan Pegawai Pelajaran Daerah Hulu Selangor, Jamaluddin Abdul Kadir, ketika berucap merasmikan mesyuarat agung kali kelapan PIBG Sekolah Kebangsaan Bukit Sentosa, di sini, semalam berkata, semua guru di sekolah itu hendaklah bersiap sedia dari sekarang untuk menyambut kunjungan Muhyiddin ke sekolah tersebut pada bulan ini.
Menurutnya, kunjungan Muhyiddin ke sekolah itu adalah sempena program lawatan Muhyiddin ke sekolah-sekolah di seluruh Hulu Selangor untuk berjumpa dengan guru-guru di kawasan itu yang dijadualkan sepanjang bulan ini.
Katanya, Sekolah Kebangsaan Bukit Sentosa yang terletak di Jalan Bukit Sentosa 7, Bukit Sentosa 2 di kawasan itu juga akan turut dikunjungi Muhyiddin dalam rangka lawatan tersebut.
"Jadi kesemua guru di Sekolah Kebangsaan Bukit Sentosa mestilah bersedia dari sekarang untuk menyambut kedatangan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak lama lagi untuk berjumpa dengan guru-guru di sekolah ini," katanya.
Beliau juga berkata, kunjungan Muhyiddin ke sekolah itu tentunya mencatat sejarah tersendiri kerana ia tidak pernah berlaku sebelum ini.
Katanya, lebih menggembirakan lagi apabila sempena kunjungan Muhyiddin itu, pihak Umno akan turut memberikan sumbangan sebanyak RM3,000 kepada setiap PIBG di kawasan Hulu Selangor bagi mengisi tabung PIBG di sekolah-sekolah terbabit.
Seorang lagi penduduk kawasan itu ketika ditemui selepas itu semalam, Mohd Rozman Hassan, 53, turut yakin kunjungan Muhyiddin itu sememangnya bermotifkan politik kerana ia turut diiringi dengan sumbangan RM3,000 dari pihak Umno kepada setiap PIBG di sekolah-sekolah di kawasan itu.
"Jika tidak untuk kepentingan politik, mustahil Muhyiddin akan mengadakan lawatan itu dan Umno pula turut memberikan sumbangan sebanyak itu sekarang.
"Lebih jauh dari itu, jika Umno nak bantu PIBG-PIBG di kawasan itu, kenapa baru sekarang hendak diberikan sumbangan itu? Kenapa juga baru sekarang Muhyiddin mengadakan lawatan itu?" tanyanya yang juga seorang kakitangan kerajaan.
Sementara seorang ibu yang juga kakitangan kerajaan, Maimunah Ismail, 35, berkata, tujuan Muhyiddin hendak bertemu dengan guru-guru di kawasan itu tentunya terselit motif politik memandangkan Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 akan diadakan tidak lama lagi.
"Sekarang semua orang tahu, sokongan rakyat negara ini termasuk di kalangan guru-guru sendiri terhadap Umno BN telah semakin merosot.
"Jadi tujuan Muhyiddin hendak bertemu dengan guru-guru itu tentunya untuk mengambil hati para guru, bagi meraih sokongan guru-guru terbabit terhadap Umno BN supaya memberikan undi kepada BN pada pilihanraya umum yang akan diadakan tidak lama lagi," katanya.
Seorang guru yang ditemui, Zanariah Mat Zain, 38, turut sependapat dengan beliau dengan menambah, sekiranya Muhyiddin benar-benar jujur hendak bertemu dengan para guru untuk kepentingan pelajaran, bukan baru sekarang pertemuan itu diadakan.
Katanya, sekiranya Umno juga benar-benar jujur hendak membantu PIBG di sekolah-sekolah kawasan itu, sudah lama sumbangan itu diberikan dan bukannya sekarang.
"Jadi, semua itu hanyalah tindakan gula-gula sahaja dari Muhyiddin dan Umno. Saya amat kecewa dengan tindakan yang ternyata hendak memperbodohkan para guru dan ibu bapa seperti ini.
"Tetapi saya juga yakin, guru-guru dan ibu bapa di seluruh kawasan Hulu Selangor khasnya dan di seluruh negara amya tidak akan dapat dipengaruhi dengan mudah lagi oleh pihak Umno BN.
"Sebaliknya, masing-masing sudah dapat membaca dari awal lagi mesej yang tersirat di sebalik kunjungan Muhyiddin dan sumbangan Umno itu," ujar beliau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan