Sabtu, 4 Februari 2012

Subsidi Gula 2012-2014 Naik Kerana Harga Kontrak Gula Mentah Meningkat

MSTAR ONLINE

KUALA LUMPUR: Subsidi gula yang dtanggung oleh kerajaan antara tahun ini hingga 2014 meningkat berikutan harga kontrak jangka panjang (LTC) pada tempoh itu lebih tinggi berbanding harga kontrak antara tempoh 2009 dan 2011, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Jumaat.

Ismail Sabri berkata, subsidi meningkat kerana kenaikan harga kepada US$0.26 sepaun yang ditetapkan di bawah LTC di pasaran global berbanding harga kontrak US$0.175 sepaun yang dibayar pada tempoh 2009-2011.

Oleh yang demikian, katanya, subsidi yang ditanggung oleh kerajaan bagi tempoh 2009 hingga 2011 adalah tetap berdasarkan harga US$0.175 sepaun yang dipersetujui di bawah LTC.

Untuk tiga tahun akan datang, subsidi ini akan meningkat berdasarkan LTC yang baharu ditandatangani kerajaan pada Januari lalu pada harga US$0.26 sen sepaun, kata Ismail Sabri kepada pemberita selepas melancarkan Menu Rakyat 1Malaysia di Kafeteria Bank Rakyat, Jumaat.

Justeru itu, Menteri itu berkata, tuduhan dari pihak-pihak tertentu yang mendakwa kerajaan meningkatkan subsidi gula tahun ini walau pun harga pasaran gula mentah telah menurun adalah tidak berasas kerana harganya masih tinggi berbanding harga LTC US$0.175 sepaun.

"Penambahan subsidi gula pada tahun ini tiada kaitan dengan penurunan harga gula mentah sejak enam bulan yang lepas," kata Ismail Sabri.

Beliau turut menyatakan bahawa langkah pembelian komoditi pada harga yang ditetapkan di bawah LTC adalah satu langkah yang bijak yang diambil oleh kerajaan.

Ismail Sabri menjelaskan harga gula mentah dunia telah meningkat kepada US$0.36 sepaun pada Disember 2010 dan menurun kepada US$0.25 sepaun antara Januari-Oktober 2011 dan terus menurun kepada US$0.23 sepaun pada November dan Disember. Beliau berkata, walaupun harga pasaran dunia telah menunjukkan aliran yang menurun sejak enam bulan terakhir tahun lalu, ianya masih lagi tinggi berbanding harga kontrak US$0.175 sepaun yang dibeli kerajaan.

Malaysia mengimport hampir 100 peratus keperluan gula mentahnya dari Australia, Brazil dan Thailan melalui dua syarikat tempatan -- anak syarikat gula Felda, MSM Malaysia Holdings Bhd dan Tradewinds. - BERNAMA

Tiada ulasan: