Selepas dipalit kontroversi dan menjadi mangsa fitnah, penjaga gol skuad bola sepak kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat, berdepan dengan ancaman lain pula apabila bangunan pejabat syarikat miliknya disimbah cat hitam.Bangunan syarikat Khairul Fahmi Resources Sdn Bhd (KFR) milik penjaga gawang nasional yang lebih dikenali sebagai Apek itu telah disimbah cat hitam sebanyak tiga kali.
Menurut pengurus syarikat KFR, Seiyed Ahmad Mohamad Yusoff, kejadian pertama berlaku antara 3 dengan 4 Februari, diikuti kejadian kedua pada 9 Februari lalu dan terbaru Sabtu lalu.
Katanya, ia mendorong beliau membuat laporan polis bersama Khairul Fahmi di Balai Polis Pengkalan Chepa, di sini, kelmarin, dan berharap mereka yang bertanggungjawab akan ditangkap dan dihadapkan ke mahkamah.
‘Ketika kejadian pertama antara 3 dengan 4 Februari lalu, saya menyangka ia (simbahan cat) perbuatan budak nakal, namun selepas kejadian sama berulang, saya membuat laporan polis demi keselamatan Apek dan kakitangan.
‘Kami tidak mahu menuduh sesiapa dan menyerahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan.
‘Kami tidak mahu berlembut lagi kerana kejadian ini menjejaskan reputasi syarikat dan mengancam keselamatan orang lain terutama Apek,’ katanya ketika ditemui di pejabat KFR di sini, kelmarin.
Menurut Seiyed Ahmad, satu bungkusan plastik mengandungi cat hitam turut ditemui di hadapan pintu masuk pejabat KFR, yang terletak di Jalan Seri Cemerlang, Dusun Raja, Sabtu lalu, dan bungkusan itu sudah diserahkan kepada polis sebagai bahan bukti.
Katanya, pihaknya akan memasang kamera litar tertutup (CCTV) selain memantau sebarang pergerakan mencurigakan.
Dalam pada itu, Khairul Fahmi ketika ditemui pada sesi latihan di Stadium Sultan Muhammad IV, kelmarin, enggan mengulas dan menyerahkan kepada pengurusan KFR untuk membuat kenyataan.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Superintenden Idris Abd Rafar, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan dan siasatan sedang dijalankan.
Sumber: BH
Tiada ulasan:
Catat Ulasan