Khamis, 2 Februari 2012

PAS mahu hasilkan manifesto PRU13 melalui harapan rakyat





KUALA LUMPUR - PAS mengajak rakyat Malaysia untuk turut sama dalam penghasilan manifesto pilihan raya ke-13 parti Islam dengan memberi cadangan dan harapan sekiranya Pakatan Rakyat menerajui Putrajaya.

Ketika dihubungi The Malaysian Insider, Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa berkata manifesto parti itu menekankan harapan rakyat Malaysia selepas Barisan Nasional (BN) gagal menjadi pemerintah yang baik.

"Kita akan membuat manifesto pilihan raya umum daripada cadangan yang menjadi harapan rakyat kepada PAS dan Pakatan Rakyat.

"Cadangan ini boleh dihantar kepada saya melalui khidmat pesanan ringkas (SMS), emel, Facebook atau Harakahdaily. Kita lakukan ini dengan harapan kita dapat tahu hasrat rakyat dan apa yang mereka mahukan dalam sesebuah kerajaan selepas pelbagai keadaan yang kurang di bawah BN," katanya yang merupakan pengerusi jawatankuasa manifesto pilihan raya PAS.

Beliau menambah cadangan-cadangan yang sesuai akan dimasukkan ke dalam manifesto sebagai penhargaan kepada rakyat.

Husam berkata cadangan itu dibuka kepada semua rakyat Malaysia dan boleh di hantar pada bila-bila masa.

"Saya menjangkakan pilihan raya tidak akan diadakan dalam tempoh terdekat...ia boleh dihantar," katanya.

Pakatan Rakyat sebelum ini mengumumkan "Tawaran Jingga" iaitu tawaran manifesto Pakatan Rakyat yang menekankan dasar-dasar bersama tiga parti komponen.

Manifesto itu menggabungkan Rangka Kerja Bersama dan Buku Jingga Pakatan Rakyat, yang mengandungi janji parti perikatan yang akan dilaksanakan dalam tempoh 100 hari selepas menawan Putrajaya.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak masih merahsiakan tarikh pilihan raya umum ke-13 namun BN dan Pakatan Rakyat telah menggerakkan jentera masing-masing sebagai persediaan.

Mandat semasa kerajaan pusat hanya akan berakhir April 2013.

Tiada ulasan: