Jumaat, 17 Februari 2012

Mahkamah benar halang KPF lupus hutang kepada FGVH

Hazayani Zakaria,


KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi Kuantan hari ini membenarkan injunksi interim untuk melarang Koperasi Permodalan Felda (KPF) melupuskan ekuitinya kepada Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGVH).

Hakim Datuk Mariana Yahya membuat keputusan itu petang ini selepas mendengar Saman Dalam Kamar (Ex-Parte) yang dikemukakan lapan pemegang saham KPF.

Tiga permohonan yang dibuat plaintif (ahli KPF) ialah:

1. Satu injunksi interim melarang defendan (KPF) samaada secara sendiri atau perkhidmat defendan atau melalui sesiapa sahaja yang bertindak bagi pihak defendan untuk berbincang dan membuat sebarang keputusan untuk melupuskan samaada kesemua atau sebahagian ekuiti yang dimiliki oleh defendan dalam Felda Holdings Berhad dan sepuluh anak syarikat kepada Felda Global Ventures Holding Berhad.

2. Satu injunksi interim melarang defenden samaada secara sendiri atau melalui perkhidmat defendan atau melalui sesiapa sahaja yang bertindak bagi pihak defendan untuk menguatkuasakan sebarang keputuan untuk melupuskan samaada kesemua atau sebahagian ekuiti yang dimiliki oleh defendan dalam Felda Holdings dan sepuluh anak syarikat milik Felda Holding kepada Felda Global Ventures Holding Berhad.

3. Satu injunksi interim melarang defendan samaada secara sendiri atau melalu perkhidmat defendan atau melalui sesiapa sahaja yang bertindak bagi pihak defendan untuk melupuskan samaada kesemua atau sebahagian ekuiti yang dimiliki oleh defendan dalam Felda Holding dan sepuluh anak syarikat milik Felda Holdings kepada Felda Global Ventures Holding Berhad.

Menurut Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) Mazlan Aliman, mesyuarat agung khas (EGM) KPF pada 22 Februari ini boleh diadakan tetapi tidak boleh membincangkan penyenaraian FGVH ke Bursa Malaysia.

Beliau menyifatkan berita gembira itu sebagai kejayaan awal peneroka menghalang penyenaraian FGVH ke Bursa Malaysia.

"EGM 22 Februari ini boleh diadakan tapi mereka tak boleh bincang tiga perkara yang dipohon itu.

"Keputusan yang sangat menggembirakan warga Felda dan perjuangan kita untuk memastikan penyenaraian FGVH ke Bursa Malaysia tidak berlaku," katanya kepada Harakahdaily hari ini.

Sementara itu, peguam Harris Abdullah berkata, jika EGM tersebut tetap membincangkan penyenaraian FGVH, mereka boleh didakwa menghina mahkamah dan dikenakan tindakan undang-undang.

"Kami tak halang mereka buat EGM tapi jangan bincang soal pelupusan ekuiti KPF untuk penyenaraian FGVH.

"Kalau mereka tetap usulkan perkara ini, kita boleh dakwa mereka hina mahkamah dan tindakan undang-undang boleh diambil. Jadi mereka kena patuh pada perintah mahkamah," katanya yang juga ahli jawatankuasa Anak

Tiada ulasan: