KUALA LUMPUR : Prof Dr Abdul Aziz Bari menyifatkan kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad, bahawa undang-undang di Malaysia akan ditukar sewenang-wenangnya jika Pakatan Rakyat menjadi kerajaan, sebagai tidak berasas.
Pakar perlembagaan itu turut mengulas kenyataan Mahathir baru-baru ini kononnya Amerika Syarikat dan Israel mahu melihat kerajaan Malaysia sekarang ditukar seperti yang berlaku di Asia Barat.
“Saya fikir dia ini (Mahathir) mengarut dan tak tahu apa yang dikatakannya. Bukan mudah nak buat undang-undang; ia memerlukan draf dan akan dibincangkan di parlimen.
“Mungkin dia ingat pentadbiran Pakatan Rakyat sama dengan Umno-BN di mana rang undang-undang dibentang dan diluluskan secara tergesa-gesa, manakala ahli-ahli parlimen tak diberi peluang untuk membahas dengan terperinci.
“Dia juga lupa bahawa ruang kebebasan untuk rakyat akan lebih luas jika Pakatan mentadbir negara kerana ia akan memansuhkan undang-undang yang mengekang yang dia buat dulu,” ujarnya.
Katanya lagi, kenyataan Mahathir itu menunjukkan sikapnya yang hipokrit terhadap dasar luar kerajaan semasa beliau menjadi perdana menteri sehingga sekarang.
“Dia berlagak anti-Barat, anti-Yahudi dan lain-lain tapi kita tahu siapa Mahathir yang sebenar,” ujarnya yang juga bekas Pensyarah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa.
Mahathir dan Pimpinanan Umno yang diketuai Datuk Seri Najib Razak kebelakangan ini menyerang Datuk Seri Anwar Ibrahim, kononnya pro Israel, dengan memutar belitkan kenyataannya di Asian Wall Street Journal.
Sebaliknya, pimpinan KEADILAN membawa bukti yang menunjukkan sikap sebenar kerajaan pimpinan Umno-BN terhadap Israel dan Amerika Syarikat, antaranya, perjanjian dengan APCO yang menerima bayaran RM77 juta setahun dari kerajaan.
Kelmarin, Setiausaha Agung KEADILAN, Saifuddin Nasution mendedahkan bahawa kerajaan tidak konsisten terhadap perjuangan Palestin dan tidak mengiktiraf kerajaannya yang sah akibat tunduk kepada tekanan Amerika dan Israel.
Kerajaan BN katanya, membelakangkan kehadiran menteri luar Palestin yang sah, Dr Mahmoud Al Zahar yang dilantik perdana menteri ketika itu, Ismail Haniyeh semasa Malaysia menjadi tuan rumah Persidangan Negara-negara Berkecuali (NAM) pada 2006.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan