Isnin, 13 Februari 2012

Hari Kekasih: Mana suara pemimpin Umno

Harakahdaily,

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mendesak pendirian rasmi Umno dalam isu sambutan Valentine’s Day (Hari Kekasih) yang disambut setiap tahun di negara ini.

“Ini kerana sejak isu ini timbul tidak sedikitpun suara pemimpin Umno kedengaran bagi menyatakan pendirian berhubung isu yang menjadi pertikaian umat Islam sejak dahulu.

“Dalam hal ini, DPPM menyatakan pendirian PAS sejak dahulu sehingga kini tetap bertegas bahawa sambutan Hari kekasih adalah haram untuk umat Islam dan tidak wajar bagi kerajaan mempromosikan hari tersebut kepada masyarakat khususnya kepada umat Islam,” kata ketua penerangannya, Riduan Mohd Nor kepada Harakahdaily.

Ini, ujarnya telah dikuatkan lagi dengan fatwa daripada Majlis Fatwa Kebangsaan yang telah menghukumkan haram terhadap sambutan itu.

Katanya, ketegasan PAS tetap dipegang sekalipun yang menentangnya adalah rakan sekutu PAS dalam Pakatan Rakyat.

Ini, tegasnya menunjukkan PAS tidak pernah mengikut telunjuk atau menjadi kuda tunggangan mana-mana pihak.

PAS, jelasnya lagi adalah parti Islam sejak dahulu sehingga kini dan tetap berpegang kepada prinsip dan dasarnya walau dengan siapa ia berkawan.

Namun demikian, katanya DPPM merasa kesal kerana media utama hanya sibuk mencari titik perbalahan antara parti dalam Pakatan Rakyat sebaliknya Umno yang menjadi tunjang dalam kerajaan tidak sedikitpun mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung sambutan hari tersebut.

Malahan, ujarnya pemimpin Umno diam seribu bahasa dengan mengambil sikap jalan selamat demi mengelakkan persengketaan dalaman antara parti komponen dalama Barisan Nasional.

Bagi DPPM, kata beliau pemimpin Umno tidak wajar berdiam diri tanpa mengeluarkan sebarang pendirian rasmi berhubung sambutan Valentine’s Day.

“Sebagai pemimpin umat Islam di negara ini pemimpin utama Umno wajib menyatakan pendirian mereka.

“Kemungkaran mesti dicegah walau ditentang oleh rakan-rakan sekutunya kerana ia adalah perintah Allah SWT,” ujarnya.

Tambahan lagi, ujar beliau umat Islam di negara ini pasti akan merasa kecewa sekiranya Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Perdana Menteri membiarkan terus polemik itu berlalu tanpa sebarang kenyataan mahupun tindakan tegas diambil.

Beliau menambah, lebih dikesali apabila ulama dalam Umno serta Menteri Di Jabatan Perdana Menteri yang menjaga urusan hal ehwal agama Islam di negara ini turut berdiam diri berhubung isu itu.

Akhirnya, ujar beliau lagi DPPM mengharapkan umat Islam di negara ini membuka mata dengan melihat sikap sebenar Umno dalam soal mempertahankan syariat Islam.

“Dalam keadaan seluruh negara riuh rendah dengan penolakan dan penentangan terhadap isu ini, pemimpin-pemimpin Umno menutup mulut dan terus membiarkan kemungkaran berleluasa,” katanya.

Tiada ulasan: