Ahad, 19 Februari 2012

Beli ijazah? Tak kuasa saya, kata Rosmah

MALAYSIA KINI
Isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor hari ini menafikan dakwaan bahawa beliau telah membayar wang untuk mendapatkan ijazah kedoktoran kehormat yang diterimanya daripada Curtin University.

Katanya, beliau menerima ijazah tersebut memandangkan anugerah itu sendiri diberikan oleh universiti tersebut.

"Ada yang kata saya bayar Curtin (untuk dapatkan ijazah tersebut). Tak kuasa saya...

"Daripada saya bayar lebih baik saya beri sumbangan kepada Wiranita PERKASA.

"Mungkin sebab dia selalu bayar, sebab itu dia kata saya bayar," katanya lagi dalam ucapannya di majlis makan malam pertubuhan itu malam tadi.

Tambahnya, beliau diberitahu mengenai penganugerahan ijazah kedoktoran itu sejak Disember lalu.

Dakwaan bahawa Rosmah membayar wang untuk dianugerahkan ijazah tersebut timbul susulan majlis penerimaan ijazah berkenaan pada 12 Februari lalu yang mendapat liputan meluas media.

Ibrahim Ali: Penting ni, ramai dok bercakap

Isu berkenaan juga ditimbulkan oleh pembaca Malaysiakini.

Mengulas lanjut, Rosmah berkata beliau tidak kisah dengan tohmahan yang dilemparkan itu.

"Janganlah percaya apa yang didengar... Biaq pi la (biarlah), esok dialah yang terpaksa jawab bila dah sampai sebelah sana (meninggal dunia)," katanya lagi kepada kira-kira 700 orang yang hadir.

Rosmah turut bersyukur kerana presiden PERKASA Datuk Ibrahim Ali turut menyokong beliau dalam isu tersebut.

Dalam ucapannya terdahulu, Ibrahim antara lainnya berkata ijazah kehormat tersebut melayakkan Rosmah digelar "srikandi negara."

Tambahnya, Rosmah juga seorang individu yang luar biasa kerana sering dilemparkan fitnah oleh pembangkang dan juga media baru "yang nakal dan tidak bertanggungjawab."

Beliau juga meminta Rosmah mengulas fintah berkenaan -- "Penting ni. Ramai dok bercakap. Malam ni saya kira selesai."

'We all love you'

Tambahnya, beliau juga sering mengulas mengenai dakwaan pembelian cincin bernilai RM24 juta oleh Rosmah dalam ceramahnya.

"Cincin ni kalau RM24 juta lebih berkilo-kilo (beratnya) lebih besar dari tembikai Cina. Boleh pakai ke tidak?" soalnya.

Beliau juga mengucapkan syabas kepada Rosmah kerana berjaya mengharungi fitnah tersebut.

Tambahnya, PERKASA juga akan terus menyokong Rosmah dan suaminya Datuk Seri Najib Razak.

"We all love you," katanya lagi.

Rosmah yang kelihatan gembira selepas itu turut mendendangkan beberapa lagu bersama anggota Wiranita PERKASA.

Tiada ulasan: