KEADILAN DAILY
KUALA LUMPUR : Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menasihati mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed supaya “duduk diam-diam dan jaga cucu di rumah” serta tidak ‘menyerangnya’ tanpa sebarang asas.
Katanya, beliau sudah lali dengan tohmahan yang dilemparkan kepadanya sejak bertahun-tahun itu.
“Itu orang tua belum habis lagi ka? Sudah la tu. Dia dan keluarga sudah kaya-raya, Mirzan dah berbilion.
“Cukuplah, duduk diam-diam di rumah dan jaga cucu di rumah,” katanya kepada lebih 1,000 hadirin di acara rumah terbuka Tahun Baru Cina anjuran KEADILAN Batu di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Jinjang Selatan, Kuala Lumpur.
Anwar mengulas serangan Mahathir pada Isnin lalu yang mendakwanya mempunyai hubungan rapat dengan Yahudi, malah berkawan dengan anggota kongres Amerika Syarikat berbangsa Yahudi.
“Dia kata saya dekat dengan orang Israel. Dulu dia kata saya ikut orang Cina. Kalau jadi PM, saya akan jual negara ini pada orang Cina.”
“Dey ane! Mana satu ini.
“Hari itu saya pergi majlis Ponggal, saya pakai topi India. Macam MGR (bintang filem India). Nanti dia kata saya ikut orang India pula!” sindir Anwar seperti dilapor Malaysiakini.
KEADILAN baru-baru ini mengecam tindakan media milik Umno, Utusan Malaysia yang memutarbelitkan kenyataan Anwar dalam satu wawancara dengan Wall Street Journal, 26 Januari lalu.
Parti itu menegaskan pendirian ketua umum KEADILAN itu selari dengan Inisiatif Keamanan Arab dan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, ketika wawancara tersebut.
Kenyataan Anwar itu berhubung prinsip Penyelesaian Dua Negara atau Two-State Solution yang turut dipersetujui gerakan Islam termasuk Hamas, dengan syarat Israel menghormati kedaulatan negara Palestin.
Ia turut ditegaskan oleh timbalan menteri luar Hamas, Ghazi Hamad untuk mematuhi resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa (PBB) 1967, berhubung konflik Palestin-Israel.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan