Jumaat, 17 Februari 2012

AMK Shah Alam hantar 100 anggota ke Himpunan Hijau

Oleh: Sidiqin Omar

SHAH ALAM - Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Shah Alam akan menghantar sekurang-kurangnya 100 anggota ke Kuantan sempena Himpunan Hijau, 26 Februari ini, kata Ketuanya, Sham Shariman.

Menurutnya, AMK akan hadir pada perhimpunan itu sebagai sokongan terhadap bantahan projek nadir bumi yang dijalankan oleh Lynas di Gebeng, Kuantan.

“Kita akan turun sebagai sokongan kepada kelestarian alam di Kuantan. Isu Lynas bukan isu parti KEADILAN semata-mata, tapi isu rakyat Malaysia secara keseluruhan.

“Ia mengakibatkan kesan kesihatan, ekonomi dan sosial dalam jangka masa panjang ,” katanya kepada Keadilan Daily.

Justeru, beliau menasihatkan anggota AMK yang ingin hadir ke Himpunan Hijau agar menghubunginya dalam kadar segera untuk urusan perjalanan dan penginapan.

Dalam pada itu, Sham memaklumkan, beberapa program KEADILAN Shah Alam akan berlangsung dalam masa terdekat, antaranya jamuan makan malam bagi mengutip dana pilihan raya di Kompleks Belia Dan Kebudayaan Selangor, Shah Alam, 3 Mac depan.

Difahamkan, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim akan turut hadir bersama Ketua Cabang Shah Alam yang juga Adun Kota Anggerik, Dr Yaakop Sapari.

“Selain itu, program untuk anak muda akan turut dianjurkan. Mengikut perancanganan, dalam bulan Mac, satu konvoi bermotosikal akan diadakan ke Port Dickson,” ujar beliau.

Katanya, anak muda memiliki pelbagai kegemaran seperti minat terhadap motosikal, sukan dan muzik.

“Dalam kegemaran mereka itu, kita selitkan unsur kesedaran. Kita ‘tarbiyah’ dengan cara kreatif. Ini yang akan membuatkan mereka berminat dengan AMK,” jelasnya.

Tiada ulasan: