Menjelang program Pelancaran Gerakan Asalkan Bukan UMNO (ABU) Peringkat Negeri Johor pada 26 Februari ini di mana SAMM Johor turut terlibat sebagai penggerak Asalkan Bukan UMNO (ABU) Johor, semalam beberapa aktivis SAMM Johor telah menerima kecaman dan ugutan dari individu-individu semasa memasang poster-poster promosi program tersebut di beberapa tempat sekitar Pasir Gudang. Malahan, beberapa poster-poster promosi program tersebut telah dikoyakkan, diconteng dan disabotaj oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab.
SAMM Johor dengan tegas menyatakan bahawa kami tidak akan bertoleransi dengan pihak-pihak yang menjajah minda anak muda dengan anasir politik sebegini. Seharusnya, UMNO dan parti politik yang ada di Malaysia mendidik anak muda untuk berpolitik secara matang, secara ilmiah sebagai pewaris masa depan negara bukannya melakukan tindakan sembrono yang membonsaikan pemikiran masyarakat khususnya anak muda. Anak muda tidak seharusnya dijadikan mangsa eksploitasi pihak tidak bertanggungjawab demi survival politik melampau mereka.
UMNO seharusnya menghormati lunas-lunas demokrasi dan kebebasan bersuara. Program yang dianjurkan adalah berlangsung di kawasan premis persendirian serta ini merupakan platform untuk rakyat negeri Johor yang telah ditindas bertahun lamanya untuk menyuarakan keperitan dan kepayahan mereka selama ini. Asalkan Bukan UMNO bukanlah satu gerakan yang dinaungi oleh mana-mana parti politik sebaliknya merupakan satu gerakan dari rakyat kepada rakyat. Sewajarnya, UMNO menghormati perbezaan pandangan dan meraikan demokrasi. Ini sahaja platform yang ada untuk rakyat tertindas meluahkan penderitaan mereka apabila media-media cetak dan elektronik telah dirantai oleh rejim Pemerintah.
Hujah biarlah dilawan dengan hujah. Namun jika keras yang dijual maka keras jugalah yang dibeli. Jika baik budi bicara, kami anak muda sedia memberi laluan agar anda berhujah di pentas yang telah kami sediakan, dengan etika dan syarat yang ditentukan seperti yang telah kami lakukan semasa Ceramah Timbalan Presiden PAS di Muar tempohari. Tetapi jika kehadiran mereka ini jelas lagi terang hanya untuk mengacau majlis rakyat, kami anak muda SAMM sentiasa bersedia di barisan hadapan, begitu juga dengan unit amal serta aktivis-aktivis ABU lain. Adalah menjadi tugas anak muda untuk memastikan keselamatan orang ramai ketika kemungkinan pihak berkuasa "terlepas pandang" dalam menjalankan tugas.
SAMM Johor juga ingin mengambil kesempatan ini untuk menjemput rakyat Johor hadir ke Pidato Pelancaran Asalkan Bukan UMNO (ABU) untuk mendengar luahan teman-teman dari segmentasi masyarakat seperti Bekas Penduduk Tasek Utara dan Plentong Tengah, Generasi Kedua FELDA, Orang Asal, Pekerja dan pelbagai lagi segmentasi masyarakat yang telah menjadi mangsa penindasan rejim UMNO pada:
Tarikh : 26 Februari 2012 (AHAD)
Jam : 9 malam
Tempat : PASTI Taman Air Biru, Pasir Gudang, Johor
Akhir, SAMM Johor sekali lagi menyeru UMNO untuk menghormati lunas-lunas demokrasi serta jangan mengeksploitasi dan meracuni pemikiran anak muda dengan permainan politik kotor, politik ugutan dan politik samseng demi survival politik anda.
ASALKAN BUKAN UMNO!
*Kenyataan media oleh Ahmad Anwar Asyraf selaku Penyelaras SAMM Johor.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan