KUALA LUMPUR: Kartunis politik kontroversi, Zunar memfailkan saman terhadap kerajaan dan empat pihak lain kerana menangkap beliau pada 24 September tahun lalu, yang dianggap sebagai berniat jahat.
Selain kerajaan, Zunar atau nama sebenarnya Zulkiflee Anwar Ulhaque menamakan Kementerian Dalam Negeri, Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, Penolong Penguasa Polis (ASP) Arikrishna Apparau dan ASP Marina Hashim sebagai defenden.
Beliau sebelum ini ditahan di bawah Akta Hasutan pada hari pelancaran buku kartunnya bertajuk Cartoon-O-Phobia pada 24 September 2010. Polis turut merampas 66 naskah buku tersebut yang dijumpa dalam premis beliau di Sepakat Efektif Sdn Bhd, beserta satu lukisan kartun karyanya.
Menurut peguam mewakili plaintif dari Lawyers For Liberty (LFL) Latheefa Koya, tuntutan itu dibuat kerana penahanan Zunar yang direman selama sehari tanpa kehadiran pegawai penyiasat, adalah tidak berasas.
Latheefa berkata, polis juga gagal memberi penjelasan mengapa Zunar ditangkap di bawah Akta Hasutan dan menunjukkan ciri hasutan terkandung pada buku tersebut.
“Masa kita tanya, ciri mana yang beri unsur hasutan, mereka gagal memberikan bukti yang dikatakan mengandungi ciri hasutan. Selepas tangkapan dibuat,Zunar telah dibawa lebih kurang tujuh balai dan akhirnya beliau tidak ditanya soalan dan terus direman sehari,” kata Latheefa ketika sidang media di perkarangan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di sini hari ini.
Kata beliau, pelbagai keraguan timbul semasa penangkapan dibuat kerana polis yang menangkap Zunar datang dari Balai Polis Brickfields tetapi beliau direman di Sepang.
“Penangkapan Zunar berniat jahat, kenapa perlu menangkap dan meletakkan Zunar dalam lokap sehari dan esoknya diberikan perintah tahanan reman sehari lagi. Kalau buku ini dikatakan unsur hasutan, mereka sudah merampas 66 buah buku, mereka boleh siasat dan panggil Zunar bila-bila masa untuk beri keterangan dan kenapa perlu menangkap,” ujarnya.
Sementara itu Zunar ketika ditemui pemberita berkata punca mata pencariannya turut terjejas selepas beliau ditangkap pihak polis dan karyanya dirampas.
“Buku ini tidak dapat dijual, kilang juga selepas diugut polis tidak lagi berani mencetak buku saya di masa akan datang dan mereka maklumkan kepada saya untuk tidak jual dan cetak. Saya sukar mencari pencetak selepas itu.
“Oleh itu saya tuntut untuk mahkamah istiharkan penahanan saya tidak sah daripada segi undang-undang, kerana berniat jahat dan mahu polis hantar semula buku dan lukisan saya yang asli seperti mana yang diambil dahulu,” kata beliau.
Antara tuntutan yang difailkan oleh plaintif terhadap defenden ialah menuntut seperti ganti rugi teladan, faedah atas gantirugi am pada kadar 8 peratus setahun dari tarikh pemfailan writ saman ini sehingga tarikh penghakiman.
Selain itu, plaintif turut menuntut perintah supaya buku-buku yang dirampas dikembalikan kepada plaintif pertama dan kedua atau ganti rugi khas sebanyak RM1650.00.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan