KUALA LUMPUR: Pengerusi Biro Felda Kebangsaan dan Orang Asal KEADILAN, Suhaimi Said berkata, Felda akan berdepan lebih banyak saman dari peneroka sekiranya agensi itu masih enggan berunding dan memberikan hak kepada mereka.
Menurutnya, Felda kini berdepan dua isu besar iaitu berhubung bayaran dana tanam semula dan isu penipuan Kadar Perahan Gred (KPG) yang rendah.
Isu bayaran dana tanam semula, kata Suhaimi, dihadapi sebahagian kira-kira 25,000 peneroka Felda di seluruh negara yang tidak lagi menyertai Felda dan mengusahakan tanaman mereka sendiri.
Sebahagian mereka masih tidak menerima bayaran tersebut yang berjumlah RM17,000 dan disimpan peneroka kira-kira 20 tahun selama menduduki tanah rancangan.
“Kita masih ajak Felda berunding dengan peneroka, supaya Felda membayar duit caruman peneroka kepada Felda untuk dana tanam semula. Duit tanam semula hendaklah dikembalikan kepada peneroka seramai 25,000 peneroka yang tanam sendiri. Tetapi Felda payah sangat untuk diajak berunding.
“Kita bukan sengaja nak saman, tapi bila diajak berunding, Felda tak mahu berunding. Apabila peneroka saman, Felda menyatakan peneroka tidak mengenang budi,” katanya yang juga anak jati Felda, peguam dan aktivis yang memperjuangkah hak peneroka sejak 1970 an.
Beliau mengulas Keputusan Mahkamah Tinggi Kota Bharu semalam yang mengarahkan Felda membayar RM1.2 juta kepada peneroka Felda Kemahang 1 dan 2.
Kes tersebut difailkan 131 peneroka Felda menerusi peguam Wan Rohaimi Wan Daud yang sebelum ini gagal mendapat semula wang caruman mereka di bawah tabung wang tanam semula yang diuruskan Felda.
Menurut Suhaimi, selain isu wang caruman tersebut, Felda turut berdepan tindakan saman dari peneroka Felda dalam isu KPG sekiranya pengurusan Felda masih tidak membayar nilai yang diselewengkan mereka.
Terbaru, katanya kira-kira 700 peneroka dari kawasan Jengka, Pahang akan memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Temerloh, pada 17 Jun ini berhubung isu tersebut.
Menurut Suhaimi, sekiranya dua isu iaitu bayaran dana tanam semula dan KPG digabungkan, Felda akan berdepan saman peneroka di ratusan tanah rancangan seluruh negara.
“Beratus rancangan Felda di negeri Pahang, Negeri Sembilan, Johor dan Perak yang terlibat dalam isu ini dan kita anggar lebih seratus telah menyenaraikan untuk tindakan saman,” ujarnya.
Dalam pada itu, dalam usaha memberi maklumat dan mengumpul aduan dari peneroka, Biro Felda Kebangsaan KEADILAN akan mengadakan siri jelajah ke Selangor, Kedah, Perlis, Sabah dan Terengganu.
“Di samping memberi maklumat kita juga mahu mengumpul aduan peneroka di negeri-negeri ini,” ujar beliau.
Pada Ogos tahun lalu, Mahkamah Persekutuan mengarahkan Felda membayar 354 peneroka Kemahang 3, Kelantan sebanyak RM11 juta kerana menipu peneroka berhubung KPG.
Sebelum ini, Felda Serting dan Gugusan Raja Alias juga memfailkan saman sebanyak RM200 juta ke atas lembaga tanah berkenaan dalam isu yang sama.
Pada 12 Jun tahun lalu pula 654 peneroka Gugusan Felda Maokil, Labis memfailkan saman terhadap Felda bagi menuntut ganti rugi lebih RM80 juta.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan