Beliau yang ditemuramah Tv Selangor berkata, Pemuda Umno tidak seharusnya turut serta melakukan demonstrasi pada hari sama yang dirancang oleh Bersih 2.0, jika hanya berhasrat untuk melakukan provokasi pada perhimpunan aman itu.
“Ini menghairankan kita kalau benar mereka mengatakan pilihan raya kita bersih, buatlah pada hari lain. Ini sebab Pemuda Umno menganggap polis berada di pihak mereka. Sepatutnya polis tidak menyebelahi mana-mana pihak dan menjaga keselamatan rakyat. Sepatutnya polis menasihat Pemuda Umno buat pada hari lain.
“Tapi pemilihan (tarikh) sengaja ditimbulkan provokasi dan mereka (Umno) menganggap polis adalah Umno dan Umno adalah polis. Ini satu kesilapan tanggapan. Dan barangkali mereka beranggapan begitu seolah-olah mereka ada jaminan polis tidak akan mengganggu mereka,” katanya.
Malah Mohamad atau lebih dikenali dengan panggilan Mat Sabu menambah, pihaknya mengalu-alukan mana-mana pihak yang merasakan pilihan raya di negara ini diadakan dengan adil dan bersih supaya menyertai himpunan Pemuda Umno.
Ujar beliau lagi, masih belum terlambat untuk pihak polis membuktikan kepada rakyat bahawa agensi kerajaan itu tidak menyebelahi mana-mana pihak pada himpunan itu nanti.
“ (Perhimpunan ini) tidak ancam keselamatan negara. Kita sudah mempuat perhimpunan terdahulu, hakim Bersih 2007 memutuskan perhimpunan itu aman dan kami yang didakwa dibebaskan. Bahkan tempat yang tiada tembakan gas di Masjid Negara ke Istana Negara, satu pasu bunga pun tidak terbalik,” katanya.
Pergerakan Pemuda Umno Malaysia memutuskan untuk mengadakan perhimpunan pada tarikh dan tempat yang sama dengan perhimpunan Bersih 2.0 di ibu negara pada 9 Julai depan sebagai sokongan kepada sistem pilihan raya sedia ada yang didakwa adil dan bersih.
Sebelum ini, Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) juga mengumumkan akan menganjurkan perhimpunan pada masa dan tempat yang sama.
Bersih 2.0 merupakan gabungan 63 badan bukan kerajaan yang mempunyai kepentingan dalam mempromosikan demokrasi dan pilihan raya yang bebas serta adil di Malaysia.
Pada asalnya, keahlian gabungan Bersih yang menganjurkan perhimpunan pada tahun 2007 terdiri daripada pihak-pihak NGO dan parti-parti politik.
Namun kini, Bersih 2.0 yang dilancarkan pada 10 November 2010 hanya terdiri daripada ahli-ahli dari golongan masyarakat madani.
Jawatankuasa Induk Bersih 2.0 terdiri daripada 14 individu yang mewakili pelbagai badan NGO di Malaysia yang menuntut SPR supaya membersihkan senarai undi, mereformasikan undi pos, penggunaan dakwat kekal, akses media yang bebas dan adil, masa berkempen minima 21 hari, mengukuhkan institusi awam, menghentikan budaya rasuah serta menghapuskan politik kotor yang berlaku di negara ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan