Desas-desus bahawa PRU-13 bakal diadakan pada pertengahan tahun ini agak kencang sebelum ini. Tetapi, susulan daripada kenaikan harga minyak, gula, elektrik dan sebagainya, kemungkinan ini semakin menipis. Ada yang mengatakan bahawa Najib dan Muhyiddin berbeza pandangan dalam hal ini - Muhyiddin berharap PRU diadakan secepat mungkin, Najib pula mahu menanti peluang dan masa yang lebih baik.
Hujah ini ada asasnya yang objektif pada tahap tertentu. Sokongan pengundi Cina belum kembali ke BN, malah sokongan bumiputera bukan Islam di Malaysia Timur terhadap BN mulai goyah. Seandainya PRU diadakan sekarang, amat sukar untuk BN memperolehi majoriti dua pertiga. Sungguhpun majoriti dua pertiga dimenangi BN, besar kemungkinan ia ditunjangi kerusi UMNO - maka wujudlah sebuah kerajaan yang didominasi sepenuhnya Melayu, dengan bumiputera Malaysia Timur sebagai sampingannya.
Keputusan sebegini memperlihatkan kegagalan Najib dalam garis politik "1Malaysia"-nya, lantas beliau kehilangan modal untuk meneruskan program transformasi ekonominya. Justeru itu, jikapun Najib tidak digulingkan sejurus selepas PRU-13, beliau juga akan menjadi PM yang tempang.
Maka adegan gandingan Mahathir-Muhyiddin untuk menggulingkan Abdullah Ahmad Badawi akan berulang. Perwatakan Mahathir tiada gantiannya, malah Muhyiddin pada ketika itu adalah orang rapat Abdullah pada asalnya. Kini, siapa pula "Muhyiddin" yang baru? Ada yang teka Naib Presiden dengan undi tertinggi, Ahmad Zahid Hamidi yang kini menyandang jawatan Menteri Pertahanan.
UMNO semakin berkocak. Pada tahap tertentu, ia adalah persaingan antara dua garis politik. Pertama, mahukah UMNO mengambil kedudukan pertengahan untuk mengembalikan undi bukan Melayu yang hilang secara mendadak pada tahun 2008? Kedua, mahukah UMNO melaksanakan reformasi ekonomi, untuk mengurangkan defisit kerajaan dan meningkatkan persaingan di antarabangsa? Kedua-dua pendekatan ini bersamaan dengan penafian terhadap dasar dan garis politik UMNO yang lalu - sebagaimana keterbukaan politik secara terhad oleh Abdullah Ahmad Badawi yang menyinggung sayap kanan dan mereka yang berkepentingan dalam UMNO, termasuk Mahathir Mohamad.
Sesiapa yang berada di kedudukan Najib terpaksa berbuat demikian. Jikalau tidak, pemerintahan UMNO bakal berdepan dengan cabaran dari dalam dan luar, sehingga memberi laluan kepada Anwar, PKR dan Pakatan Rakyat untuk menjadi pengganti. Namun, siapa-siapa yang tidak berada pada kedudukan Najib tetapi berhasrat untuk memanjat tangga kuasa akan tergoda untuk menarik sokongan sayap kanan dalam UMNO.
Oleh yang demikian, gagasan "1Malaysia" Najib sering terhantuk dalam UMNO - bukan sahaja Muhyiddin secara terang-terang mendakwa dirinya mendahulukan identitinya sebagai Melayu daripada Malaysia, malah sepupu Najib, iaitu Menteri Dalam Negeri Hishammuddin Hussein juga membela sayap kanan ketika bangkitnya isu demonstrasi kepala lembu dan khabar angin penubuhan"Negara Kristian".
Talam dua muka: Strategi UMNO
Menurut wartawan yang dipecat dari Utusan Malaysia, Hata Wahari, Utusan dikawal secara terus oleh Presiden, Timbalan Presiden, Naib Presiden, Setiausaha Agung, Ketua Penerangan UMNO. Oleh itu, pendekatan Utusan yang ektrem bukan kerana sabotaj Muhyiddin, tetapi adalah strategi "talam dua muka" UMNO. Satu mukanya berdepan dengan golongan Melayu sayap kanan, sementara satu lagi ditujukan kepada bukan bumiputera, Melayu yang berada di pertengahan dan pengundi Malaysia Timur. 【Baca: Hata Wahari: Ruang kebebasan hilang selepas Najib memerintah】
Slogan "1Bumi, 1Melayu" yang dilaungkan Utusan Malaysia, disahut PERKASA adalah wajah yang bertentangan dengan "1Malaysia". Mungkin kita boleh menganggap ia dua wajah UMNO, satu berwajah hitam dan satu lagi berwajah putih.
Secara tradisionalnya, bukan Melayu kini cenderung untuk menyokong pembangkang. Maka, KPI untuk "1 Malaysia" oleh Najib/ UMNO berwajah putih tidaklah setinggi mana. Sokongan bukan Melayu tidak perlu melebihi 50%, tetapi hanya dengan pengembalian sokongan pada tahap tertentu, ditambah dengan persempadanan kawasan pengundian yang licik, cukup untuk mengembalikan majoriti dua pertiga BN - maka ia dikira prestasi yang unggul. Seandainya satu atau dua negeri Pakatan Rakyat dirampas, terutamanya Selangor, maka ia dikira kemenangan besar-besaran.
UMNO yang berwajah hitam (Mahathir, Muhyiddin, Utusan Malaysia, PERKASA dsb) mempunyai pertimbangan dirinya. Seandainya UMNO yang berwajah putih (1Malaysia) berjaya, maka jasanya dipahat dengan nama Najib. Maka Najib mempunyai asasnya - dengan "amanah rakyat" yang diberikan - untuk menjalankan pembaharuan dalaman, yang bakal menyinggung mereka yang berkepentingan.
Pertimbangan UMNO yang berwajah hitam adalah bagaimana menambah dominasi UMNO terhadap kerajaan. Maka serangan mereka terhadap "bukan Melayu" bukan sekadar cara mereka mendapat undi Melayu, tetapi juga matlamat mereka.
UMNO yang berwajah dua ini mempunyai perhitungan yang berbeza. Walaupun kedua-duanya menyasarkan majoriti dua pertiga, tetapi "dua pertiga" mereka berbeza. UMNO yang berwajah putih menyasarkan dua pertiga yang memiliki kerusi bukan Melayu yang mencukupi, untuk mengekalkan Najib pada kedudukan PM-nya.
Untuk UMNO yang berwajah hitam pula, dua pertiganya perlu dimenangi dengan kerusi UMNO yang terbanyak, meskipun terpaksa mengorbankan parti komponennya. Pada hakikatnya, seandainya parti komponen mempunyai prestasi yang terlalu baik, ia mungkin mengimbangi UMNO berwajah hitam.
Apakah realitinya sekarang? Biar kita asingkan dulu 57 kerusi dari Malaysia Timur. BN mungkin hanya memenangi kira-kira 40 kerusi di Malaysia Timur, seandainya dikira mengikut pilihan raya negeri Sarawak. Justeru itu, seandainya BN mahu mengembalikan majoriti dua pertiga (148 kerusi), maka BN perlu memenangi 108 kerusi di Semenanjung, iaitu 23 kerusi lebih banyak daripada 85 kerusi yang sedia ada (bilangan kerusi BN selepas PRU 12 dan PRK selepasnya).
UMNO berwajah hitam lebih mendominasi
Dari sudut UMNO berwajah hitam, memainkan isu perkauman dan agama membolehkan BN untuk menawan 37 kawasan hitam Pakatan Rakyat, walaupun pada masa yang sama mungkin kehilangan 25 kawasan hitam BN yang mempunyai satu pertiga pengundi Cina dalam kawasan. Namun, untung bersihnya adalah 12 kerusi.
Paling penting, daripada 34 kawasan hitam Pakatan Rakyat, 25-nya ditanding UMNO. Untuk kawasan hitam BN yang mempunyai satu pertiga pengundi Cina - UMNO hanya bertanding 10 kerusi. Maksudnya, UMNO menang bersih 15 kerusi, maka kerusinya di Semenanjung akan bertambah dari 64 kepada 79. Seandainya UMNO menang kesemua 14 kerusi di Sabah, maka UMNO memiliki 93 kerusi - hanya kekurangan 19 kerusi untuk memerintah dengan majoriti mudah.
Dengan 79 kerusi UMNO di Semenanjung, ditambah pula 18 kerusi yang dimenangi parti komponen seperti MCA, dan 40 kerusi dari Malaysia Timur, maka BN akan memenangi 137 kerusi. Walaupun belum menjangkau dua pertiga, namun UMNO, khususnya UMNO berwajah hitam semestinya lebih dominan. MCA gagal melakukan apa-apa walaupun bertebal muka untuk masuk ke dalam kabinet.
MCA menyedari bahawa nasib dirinya bergantung kepada UMNO yang berwajah putih, maka mengugut untuk tidak masuk ke dalam kabinet seandainya kalah dalam PRU. Namun demikian, seandainya pengundi Cina menyokong UMNO berwajah putih semata-mata untuk mempertahankan perwakilan orang Cina/bukan Melayu, apa pula kesudahannya? MCA akan menang 12 lagi kawasan bahaya, MIC dua dan MIC satu, ditambah dengan 18 sebelum ini - maka ketiga-tiga parti ini menyumbang 33 kerusi, dan BN akan memperolehi 152 kerusi - melebihi majoriti dua pertiga!
Selagi UMNO teruskan permainan talam dua muka, apakah yang boleh dilakukan komponen parti BN dalam parlimen yang mempunyai 93 kerusi UMNO (42%) , dan 70 kerusi pembangkang (32%)? Apakah empat orang Menteri MCA boleh menandingi kuasa penafian yang ada pada satu pertiga kerusi Pakatan Rakyat?
*Wong Chin Huat ialah pengkaji politik dan kolumnis MerdekaReview. Diterjemah dan disunting dari teks asal yang disiarkan pada 3 Jun 2011.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan