Rabu, 22 Jun 2011

Azmin Ali persenda pelantikan Agong, kata timbalan pengerusi SPR

THE MALAYSIAN INSIDER

Azmin berucap sewaktu Konvensyen pilihan raya PKR di Shah Alam 19 June, 2011.— Foto Choo Choy May
KUALA LUMPUR — Gesaan PKR agar Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar meletakkan jawatan jika tidak dapat membuktikan daftar pemilih induk adalah bersih seratus peratus daripada pengundi hantu umpama mempersenda pelantikan jawatan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Wan Ahmad berkata, pelantikan beliau sebagai timbalan pengerusi SPR telah diberi perkenan oleh Yang di-Pertuan Agong.

“SPR merupakan satu badan yang bebas dari segi Perlembagaan. Saya juga telah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong. Jadi, kenyataan Azmin (Ali, timbalan presiden PKR) supaya saya letak jawatan ibarat mempersendakan pelantikan yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Pada Konvensyen Pilihan Raya PKR, Azmin menggesa Wan Ahmad meletakkan jawatan jika tidak dapat membuktikan daftar pemilih induk yang diwartakan bulan lalu adalah bersih seratus peratus daripada pengundi hantu.

Wan Ahmad diberi kata dua 48 jam membuktikan perkara itu.

Sambil menjadikan contoh di bahagian Parlimen Gombak diwakilinya, Azmin berkata SPR perlu membuktikan dakwaan dibuat beliau adalah tidak benar.

Dalam kenyataannya lagi, Azmin berkata, rumah diduduki ibunya di Kampung Klang Gate mempunyai 11 pemilih berdaftar iaitu enam Melayu dan lima Cina.

“Emak saya tinggal seorang diri sejak ayah saya meninggal dunia pada 1999. Sekarang saya ada (lima) adik-beradik Cina (pengundi kalangan kaum Cina) di rumah emak saya,” katanya.

Azmin mendakwa banyak nama pemilih berdaftar tidak disertakan dengan alamat lengkap oleh SPR.

“Ketua Umno di SPR, Wan Ahmad... pada petang ini, saya ingin mengajak warga media untuk melihat daftar pemilih induk 2010 yang diwartakan 13 Mei 2011... daftar pemilih ini ialah paling kotor dalam sejarah.

“(Kepada) Wan Ahmad, saya bagi dia 48 jam jawab atau letak jawatan sebagai timbalan pengerusi SPR... turun ke Kampung Klang Gate... mana pemilih Cina dan India menetap di situ,” kata beliau sambil berkata, ia merupakan penempatan orang Melayu.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai dakwaan Azmin mengenai daftar pemilih yang melibatkan kawasan Parlimen Gombak, Wan Ahmad berkata, beliau mengambil pendekatan untuk “tidak mahu komen apa-apa.”

Katanya, “saya dah beri penjelasan macam-macam. Tetapi masih ada lagi yang mempertikaikan daftar pemilih. Isu ini bukan perkara baru. Kita lakukan pembersihan setiap hari. Jika kita tidak dapat pengesahan dari Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), SPR tidak boleh sesuka hati keluarkan daftar pemilih.”

Jelasnya, jika terdapat pendaftar yang tidak mengemas kini butir peribadi kepada JPN sama ada sudah meninggal dunia atau berpindah, SPR tidak dapat berbuat apa-apa.

“Kita akan memberikan penjelasan dari semasa ke semasa mengenai hal berkaitan SPR. Saya akan mengulas lanjut mengenai perkara ini pada 29 Jun ini di suatu forum,” ujarnya.

Tiada ulasan: