Rabu, 8 Disember 2010

Rakyat jangan alpa, perjuangan belum tercapai – Hadi


Oleh NAEEM RAFFI

KAJANG– Presiden Parti Islam Malayisa (PAS), Datuk Seri Abdul Hadi Awang berharap agar rakyat tidak alpa dengan perjuangan yang masih belum tercapai secara total, sebaliknya harus bersama Pakatan Rakyat (Pakatan) untuk melakukan perubahan bagi menerajui Putrajaya dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

Hadi turut menyeru agar rakyat bersama-sama membuat pembetulan atas kesilapan kepimpinan Umno-Barisan Nasional (BN) serta mengajar parti itu melalui dasar demokrasi yang dipimpin oleh Pakatan pada PRU-13 akan datang.

Beliau berkata demikian ketika wujud spekulasi PRU-13 semakin menghampiri, apabila BN melancarkan piagamnya sewaktu berlangsungnya konvensyen BN di ibu negara baru-baru ini.

“Kita tidak boleh nak buat perubahan (menyeluruh) kalau kita hanya menang di Selangor sikit, di Kedah sikit, di Pulau Pinang sikit dan di Kelantan sikit, kalau kita nak buat perubahan kita perlu menang seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak.

“Kemudian baru kita boleh melaksanakan perubahan yang telah kita rancangkan,” katanya ketika menyampaikan ceramah pada program Makan Malam Rakyat Marhaen di Stadium Kajang di sini malam tadi.

Menurut Hadi, kemenangan di beberapa buah negeri dalam PRU yang lalu tindak menjamin perubahan yang dirancang dapat dilaksanakan sebaliknya semua rakyat negara ini perlu bersatu.

“Kita mesti bersatu untuk lakukan perubahan, jangan ambil peduli terhadap media yang cuba melaga-lagakan kita, sebaliknya yakin bahawa pemimpin kita lebih berwibawa daripada pemimpin Barisan Nasional dan perubahan mesti dilakukan,” katanya dihadapan kira-kira 500 orang yang menyertai program tersebut

Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata rakyat di negara ini sebenarnya tidak sedar mengenai kezaliman yang dilakukan rejim Umno Bn terhadap rakyat terutamanya yang berada di Sabah dan Sarawak.

“Ramai kalangan kita tidak sedar akan rakyat yang dizalimi kerana kita diulit dengan sedikit kesenangan, kemewahan, hiburan dan kemudahan sedangkan segala kemewahan ini hanya berpusing di kalangan pemimpin dan orang tertentu sahaja.

“Rakyat Semenanjung (Malaysia) tak tahu keadaan rakyat di Sabah dan Sarawak sedangkan mereka di sana menghadapi masalah apabila tanah dirampas, kebun dimusnahkan dan rumah dibakar. Barangkali rakyat Sabah dan Sarawak juga tidak tahu keadaan sebenarnya yang berlaku di Semenanjung,” katanya.

Turut hadir dalam program itu Ahli Parlimen Serdang Teo Nie Ching dan Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail,Pengerusi Lajnah Tanah Pas Pusat, Mazlan Aliman dan Pengarah Projek yang juga Pesuruhjaya Pas Negeri Sembilan, Zulkefli Mohamad.

Selain itu, majlis yabg bertempat di Stadium Kajang ini turut dihadiri seramai 2500 rakyat marhaen serata negara termasuk rombongan dari Sabah dan sarawak.

Selain program makan malam, Alumni Bekas Kakitangan Felda turut dilancarkan yang akan bertindak membantu parti Islam itu dalam membawa kebenaran kepada peneroka-peneroka Felda di seluruh negara.


Tiada ulasan: