Jumaat, 3 Disember 2010

Polis Masih Siasat Kes Khianat Masjid, Gereja Di Petaling Jaya

BERNAMA

KUALA LUMPUR: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, polis masih menjalankan siasatan ke atas kejadian penemuan empat kepala babi hutan di kawasan dua masjid di Petaling Jaya pada Januari lepas.

Beliau berkata, kes-kes itu disiasat atas kesalahan mencemarkan tempat ibadat dan sengaja menimbulkan suasana tidak harmoni.

Dalam kejadian itu, dua bungkusan kepala babi hutan bersama satu baldi plastik berisi 30 keping wang RM1 diletakkan di pintu masuk belakang ke perkarangan Masjid Jumhuriyah, Taman Datuk Haron manakala dua bungkusan dengan kandungan sama serta baldi berisi jumlah wang yang sama dijumpai di hadapan pintu masuk ke perkarangan Masjid Al Imam Al Tirmizi, Taman Sri Sentosa.

Hishammuddin berkata, kes di Masjid Jumhuriyah itu disiasat mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan iaitu membinasakan, merosakkan atau mencemarkan mana-mana tempat sembahyang manakala kes di Masjid Al Imam Al Tirmizi disiasat mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan iaitu menyebabkan atas alasan-alasan agama, suasana tidak harmoni, perpecahan atau perasaan permusuhan, benci-membenci atau niat jahat atau memudaratkan.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada Hee Loy Sian (PKR-Petaling Jaya Selatan) yang bertanyakan mengenai perkembangan terkini siasatan kes itu yang berlaku dalam kawasan Parlimennya termasuk kejadian serangan bom petrol di tiga gereja di kawasan yang sama.

Menjelaskan kejadian serangan bom petrol di tiga iaitu Gereja Assumption, Jalan Templer, Gereja Life Chapel di Seksyen 17 dan Gereja Good Shepherd Luthern di Jalan Othman juga pada Januari lepas, Hishammuddin berkata kes disiasat mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan iaitu cuba melakukan khianat dengan api atau benda letupan.

Tiada ulasan: