Selasa, 14 Disember 2010

Perbanyakkan institut pengajian berasas pondok

Mohd Sabri Said

PERMATANG PAUH: Speaker Dewan Undangan Negeri (Dun) Pulau Pinang, Datuk Abdul Halim Husein mahu para pendakwah di negeri ini terutamanya sebelah pulau membanyakkan institusi pengajian dan pembangunan sekolah berasaskan sistem pondok.

Ini, katanya supaya generasi hari ini diselamatkan daripada terlibat dengan gejala yang membawa kepada kemunduran.

Lagipun, ujarnya kerajaan negeri memberi galakan dan ingin memastikan sistem itu diwarisi dengan cantik kerana sistem pendidikan negara tidak mampu menangani permasalahan moral yang begitu gusar sekarang.

Menurutnya, sejak Pulau Pinang diperintah oleh Kerajaan Pakatan Rakyat bantuan terhadap pembangunan Sekolah Agama Rakyat (SAR) telah dikembalikan seperti biasa dan perbincangan boleh dibuat asalkan ada kesungguhan.

"Sekolah berasaskan pondok agak kurang di Pulau Pinang terutamanya di sebelah pulau, maka apa salahnya individu yang berpengalaman dan berkemahiran berbuat demikian untuk mencambahkan keilmuan kepada generasi yang memerlukan, "ujarnya ketika berucap merasmikan buku 'Biografi Tuan Guru Dato' Nik Aziz' di Masjid Batu, kelmarin

Turut hadir dalam pelancaran buku tulisan Profesor Dr Shahrir Mohd Zain itu iqlah penulis Dinsman dan Ketua Satu Persatuan Penulis Pulau Pinang, Anuar Ahmad serta novelis, Azizi Abdullah.

Beliau juga mahukan peningkatan peranan masjid agar lebih ceria dan bertanggungjawab dengan memeriahkan program kepada masyarakat.

Menurutnya, masjid boleh pergi jauh dan bukan sekadar hanya untuk menunaikan sembahyang bahkan boleh menjadi pendidik kepada golongan remaja apabila mengetengahkan pelbagai program keremajaan.

"Kita hendaklah jadikan masjid sebagai ‘kerajaan kecil’ yang mampu mengawal dan mengendalikan masyarakat setempat dengan baik. Jika kerajaan kecil dapat menyelamatkan masalah masyarakat ia satu penghormatan, " terangnya.

Beliau mengambil contoh Masjid Ban Nua di Hattyai, Thailand yang berperanan serta aktif dengan aktiviti ilmu serta menubuhkan koperasi yang senantiasa berusaha membantu anak kariah.

“Ia begitu cantik dengan infrastruktur dan kemudahan yang serba canggih. Ketokohan imam yang baik dan jawatankuasa yang bijak mengurus masjid senantiasa menjadi ikon kepada masyarakat," jelasnya.

Tiada ulasan: