SINAR HARIAN ONLINE
SUNGAI BESAR – Setelah lebih dua tahun menanti, penduduk di Kampung Bagan Sungai Besar akhirnya mampu menarik nafas lega dengan gerak kerja pembinaan semula Jalan 2 di kampung itu yang dijangkakan siap awal tahun hadapan.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Bagan, Chia Hiyok Cheng berkata, jalan yang menghubungkan laluan utama ke kawasan pelantar ikan itu roboh sejak September 2008 berpunca daripada masalah aliran bawah tanah yang menyebabkan laluan mendap.
Menurutnya, kerja penyelenggaraan yang tergendala sebelum ini sehingga menimbulkan kerunsingan penduduk akan diselesaikan apabila pihaknya menghantar surat kepada wakil rakyat tempatan berhubung masalah itu.
Beliau berkata, melalui cadangan itu serta desakan yang dibuat Ahli Parlimen Sungai Besar yang juga Timbalan Menteri Tenaga, teknologi Hijau dan Air, Noriah Kasnon kepada Jabatan Kerja Raya (JKR), projek penyelenggaraan jalan itu kini mula berjalan lancar dan menampakkan tanda akan siap sekurang-kurangnya awal tahun hadapan.
“Apabila baik pulih jalan dilakukan dalam tempoh yang lama, penduduk mula bimbang apatah lagi kejadian itu mengakibatkan beberapa kediaman terperangkap dan pelantar terbiar tanpa dapat digunakan akibat laluan yang tidak boleh digunakan.
“Apabila projek ini diteruskan, pastinya ia menjadi berita baik buat penduduk dan nelayan yang selama ini terpaksa menjalani kehidupan agak sukar. Ramai penduduk yang kediamannya terperangkap berpindah ke rumah lain dan bot-bot nelayan terpaksa berkongsi pelantar ikan bagi memunggah hasil laut,” katanya ketika ditemui sempena lawatan tapak ke Jalan 2, Bagan Sungai Besar di sini, semalam.
Hadir sama, Setiausaha JKKKP, Loo Soon Hock dan tiga ahli jawatankuasa Kampung Bagan iaitu, Tan Teng Hoe, Heng Wang dan Cha Liang Song.
Hiyok Cheng yang juga Pengerusi MCA bagan berkata, buat masa ini kerja penambakan dan pemasangan cerucuk besi sedang dilakukan di kawasan itu.
Menurutnya, kelewatan proses baik pulih itu sedikit sebanyak menimbulkan kesan hakisan di tebing-tebing laluan berkenaan terutama pada musim hujan.
“Kami amat berterima kasih dengan keprihatinan ini dan berharap jalan yang dibina semula nanti dapat dimanfaatkan sepenuhnya untuk membangunkan kembali aktiviti ekonomi di sini,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan