Rabu, 15 Disember 2010

Pemuda PAS: BN perlu kota janji tak akan rampas kuasa

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR— Pemuda PAS menggesa pemimpin Barisan Nasional (BN) mengotakan janji tidak akan melakukan rampasan kuasa jika mereka kalah dalam pilihan raya umum ke-13.

Ketua Penerangan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan Fadhil Osman berkata, langkah itu penting bagi membuktikan BN benar-benar menghormati demokrasi di Malaysia.

“Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan berpendapat kenyataan Datuk Mahfuz Omar, Naib Presiden PAS yang mendawka BN akan melakukan rampasan kuasa sekiranya kalah adalah suatu bayangan atau persepsi berdasarkan ucapan Perdana Menteri.

“Dalam kenyataan awal, Perdana Menteri telah meminta rakyat agar tidak memilih parti selain BN.

“Dalam hal ini, seolah-olah Perdana Menteri enggan mengiktiraf kewujudan parti politik selain BN sedangkan inilah amalan demokrasi yang sihat yang membenarkan kewujudan parti-parti politik bertanding dalam pilihan raya,” kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Oleh itu kata Fadhil, soalnya sekarang apakah hanya BN yang layak memerintah manakala parti lain tidak berhak untuk berbuat demikian.

“Adakah sekiranya BN kalah bererti Perdana Menteri tidak boleh mengiktiraf kekalahan BN dan seterusnya mengiktiraf kemenangan Pakatan Rakyat?

“Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan berkongsi kebimbangan dengan trend politik BN selama ini.

“Di Perak, kerajaan Pakatan Rakyat yang sah dijatuhkan dengan satu konspirasi yang cukup terancang.

“Di Kedah, ada usaha untuk membeli wakil rakyat Pakatan Rakyat agar kerajaan Pakatan Rakyat Kedah tumbang,” katanya.

Tambah beliau, kerajaan negeri Kelantan hampir tumbang ketika tempoh mandat 2004-2008 kalau tidak kerana kekuatan dari wakil rakyat PAS yang cuba dibeli untuk melompat parti.

“Ini belum dicampur dengan sikap berpilih BN terhadap kerajaan Pakatan Rakyat.

“Pada tahun 1999, setelah PAS menguasai kerajaan Terengganu, royalti minyak ditarik balik manakala di Kelantan pada tahun ini, kerajaan BN tidak memberikan royalti minyak kepada kerajaan negeri meskipun kerajaan Kelantan berhak mendapat royalti tersebut,” katanya.

Semalam, Muhyiddin menyifatkan kenyataan beberapa pemimpin PAS yang meramalkan BN akan merancang rampasan kuasa jika Pakatan Rakyat menang pilihan raya umum ke-13 sebagai berniat jahat, fitnah dan pembohongan.

Beliau berkata kenyataan seperti itu berupa satu lagi contoh betapa PAS akan sentiasa mencari peluang untuk menimbulkan fitnah bagi memburukkan kerajaan BN.

Mahfuz kelmarin membayangkan kemungkinan berlakunya rampasan kuasa itu, ekoran amaran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak supaya rakyat tidak memilih parti selain BN.

Muhyiddin yang juga Timbalan Pengerusi BN berkata keputusan pilihan raya umum lepas telah membuktikan BN menghormati proses demokrasi dan menerima keputusan yang dibuat oleh rakyat.

Oleh itu soal Fadhil, mengapa ada sikap pilih kasih terhadap kerajaan Pakatan Rakyat.

“Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan mengharapkan agar Tan Sri Muhyiddin Yassin benar-benar menghormati keputusan rakyat dalam pilihan raya umum ke-13.

“Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan juga meminta agar BN bersikap adil terhadap semua parti politik seperti membenarkan kebebasan media, membebaskan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dari pengaruh kuasa dan politik, tidak menyerang dan memfitnah pemimpin kerajaan Pakatan Rakyat, serta layanan yang adil terhadap semua kerajaan Pakatan Rakyat,” katanya.

Walau apapun menurut beliau, keputusan nanti, BN mesti bersedia menyerahkan Putrajaya dalam keadaan aman kepada Pakatan Rakyat dan sebaliknya pula.

“Pakatan Rakyat bersedia mengaku kalah dan berjiwa besar sekiranya benar rakyat telah menolak Pakatan Rakyat dalam pilihan raya umum ke-13 kelak,” katanya.

9 ulasan:

tombolo berkata...

Bn tak perlu nak melakukan rampasan kuasa kerana mereka akan menghormati keputusan piliharaya.

madd berkata...

inilah PAS..belum pun mendapat kuasa sudah berfikir yang bukan-bukan..

madd berkata...

rasanya PAS tidak perlu mengeluarkan kenyataan seperti ini, kerana negara kita merupakan negara demokrasi dan pilihan adalah dibuat oleh rakyat.

Tanpa Nama berkata...

Hopefully BN will fulfill their promises.

nickko berkata...

tidak ada dalam kenyataan PM bahawa BN akan melakukan rampasan kuasa. rakyat lebih memahami apa yang cuba disampaikan oleh PM tidak seperti PAS yang sentiasa mencari peluang memesongkan pemahaman rakyat. jika BN berniat mahu merampas kuasa, Pakatan tidak akan berpeluang mentadbir 4 buah negeri.

Bujang Senang berkata...

Tengok saja nanti siapa yang akan hilang dengan kuasa mereka. Adakah PAS atau BN seperti berlaku di Galas sebelum ini.

nickko berkata...

rakyat perlu sedar dengan tindakan Pakatan sejak kebelakangan ini. mereka memang tidak layak mentadbir negara. rakyat tidak perlukan pemimpin yang hanya pandai bermain kata2 tapi tidak pandai mentadbir negeri/negara. lebih baik PAS gunakan masa yang ada ini untuk menyelesaikan masalah2 di kelantan. tidak perlu membuat tuduhan atau fitnah kemudian meminta BN berjanji sedangkan tidak timbulpun niat itu..

nurfatihah berkata...

Sebaiknya BN tampil ke hadapan buat penjelasan agar semua pihak tidak membuat andaian sendiri.

Gopuk berkata...

Jika rakyat yang memilih, itu bukanya rampas kuasa...ingat kuasa ada ditangan rakyat untuk mengubah...