FREE MALAYSIA TODAY
PETALING JAYA: Pelantikan Datuk Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor yang baru tanpa berunding dengan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyalahi dan mencabuli semangat dan perlembagaan negeri.
Penasihat DAP Lim Kit Siang berkata, "Artikel 55 Perlembagaan Selangor menyebut "Sultan bertindak atas nasihat", menyediakan peruntukan bahawa Sultan harus bertindak selaras dengan nasihat dari majlis eksekutif negeri kecuali dalam keadaan tertentu.
"Bagaimanapun, pelantikan SUK bukan merupakan kes yang luar biasa di mana Sultan boleh bertindak mengikut budi bicaranya," katanya dalam satu kenyataan media semalam.
Beliau yang juga Ahli Parlimen DAP Ipoh Timor berkata adalah penting rundingan dengan menteri besar dan sultan berhubung pelantikan penjawat kerajaan berjawatan tinggi dibuat terlebih dahulu bagi memelihara intergriti perlembagaan negeri.
"Hubungan yang sihat di antara kerajaan pusat dan negeri serta demokrasi berparlimen terjejas apabila semangat dan perlembagaan negeri tidak dipatuhi," ujar beliau.
Hujah yang menyatakan perlembagaan negeri tidak menyebut menteri besar perlu diberitahu terlebih dahulu atau persetujuan beliau perlu diperolehi adalah satu alasan yang remeh.
Kalau mengikut tafsiran secara literal, Putrajaya tidak sepatutnya melibatkan Sultan Selangor dalam pelantikan SUK sebab tidak juga disebut dalam perlembagaan negeri bahawa Sultan perlu diberitahu mengenai pelantikan itu atau harus mendapat perkenan daripada Sultan terlebih dahulu.
Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Sidek Hassan mengumumkan Isnin lalu bahawa Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor itu dilantik sebagai SUK yang baru berkuatkuasa 1 Januari 2011.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan