Ahad, 26 Disember 2010

6 cedera bas ekspres terbabas dekat Temerloh

BERNAMA

TEMERLOH: Enam cedera, dua daripadanya patah tulang rusuk apabila sebuah bas ekspres dua tingkat terbabas di KM363, Jalan Raub-Bentong, awal pagi ini.

Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Wan Mohd Samsuddin Wan Osman, berkata dalam kejadian kira-kira 5.30 pagi itu, bas ekspres Mahligai berkenaan sedang dalam perjalanan dari Kota Bharu, Kelantan ke Kuala Lumpur dengan membawa 39 penumpang.
Beliau berkata, setibanya di tempat kejadian, bas terbabit dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke tebing bukit berdekatan.
Katanya, penumpang yang mengalami patah tulang rusuk dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah Temerloh sementara empat lagi penumpang menerima rawatan di Hospital Raub.

"Penumpang selebihnya tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata, hasil ujian air kencing yang dijalankan ke atas pemandu bas mendapatinya bebas dadah.

Tiada ulasan: