KUALA LUMPUR — Pengurusan Pentadbiran Petempatan Pertanian Melayu (MAS) Kampung Baru berkata agensi itu tidak berpuas hati dengan penerangan Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar berhubung Rang Undang-Undang Perbadanan Pembangunan Kampong Baru 2010 dua minggu lalu.
Ini kerana menurut Setiausaha Agong MAS Shamsuri Suradi, penerangan secara tidak terperinci mengenai rang undang-undang itu menyebabkan penduduk terutamanya pemilik dan pewaris tanah di kawasan itu terkeliru.
“Pemilik dan pewaris tanah di sini (Kampung Baru) keliru kerana penerangan yang dibuat itu tidak jelas.
“Kementerian perlu jelaskan perbadanan ini untuk apa? Apa matfaat kepada penduduk? Kementerian tidak boleh hanya terangkan secara terus sahaja.
“Penjelesan terperinci perlu dibuat, baru penduduk boleh faham. Kalau penduduk tak faham mereka akan ada persepsi yang berbeza,” kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insider.
Shamsuri juga mencadangkan agar perkataan “MAS” itu turut diletakkan sekali dalam Perbadanan Pembangunan Kampong Baru.
“Kita nak mesti ada perkataan MAS... kalau tidak, ikut perbadanan itu, MAS akan dibubarkan.
“MAS akan diletakkan di bawah Majlis Penasihat perbadanan ini, kita mahu MAS menjadi keutamaan,” katanya.
Pada 14 Disember lalu, Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar telah memberikan penerangan kepada kira-kira 300 penduduk terdiri daripada pemilik dan pewaris Kampung Baru.
Penerangan itu diadakan beberapa jami selepas rang undang-undang itu dibaca kali pertama di Parlimen. Ia dijangka baca kali kedua Mac depan.
Pertemuan itu melibatkan dua buah kampung iaitu Kampung Hujung Pasir dan Kampung Periuk.
Turut hadir Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin, Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Ahmad Phesal Talib, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Bakaruddin Othman dan barisan kepimpinan MAS.
Pertemuan dengan lima buah kampung lain dijangka akan diadakan awal tahun depan.
Kawasan Kampung Baru Kuala Lumpur yang berusia 110 tahun dan meliputi tujuh buah kampung terletak di atas tanah seluas 90.2 hektar. Kawasan itu kini didiami sekitar 35,000 orang.
Kampung Baru mempunyai tujuh buah kampung iaitu Kampung Periuk, Kampung Masjid, Kampung Atas A, Kampung Atas B, Kampung Hujung Pasir, Kampung Paya dan Kampung Pindah.
Menurut Shamsuri, satu pertemuan dirancang untuk diadakan dengan ketujuh-tujuh ketua kampung di Kampung Baru malam tadi.
Namun Shamsuri bagaimanapun enggan mendedahkan tujuan pertemuan itu.
The Malaysian Insider difahamkan pertemuan itu diadakan untuk mendapatkan respons berhubung Rang Undang-Undang Perbadanan Pembangunan Kampong Baru.
“Tunggulah kita adakan mesyuarat dulu, kemudian baru kita akan beritahu. Ada tiga isu yang utama dalam pertemuan,” kata Shamsuri.
Persatuan Pembangunan Kampung Baru sebelum ini melahirkan rasa tidak puas hati terhadap langkah Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar yang membentangkan rang undang-undang itu terlebih dahulu di Parlimen.
Persatuan itu mendakwa pembentangan itu dibuat tanpa memberi penerangan secara terperinci mengenainya kepada mereka terlebih dahulu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan