Ahad, 14 November 2010

Zaid tercalar sementara PKR terpalit

Lim Hong Siang

Keputusan Zaid Ibrahim untuk menarik diri daripada Pemilihan PKR, malah meletak jawatan parti menjadi antara isu yang paling hangat diperbincangkan selepas PRK Galas dan Batu Sapi. Berbeza dengan pemimpin PKR yang keluar parti sebelum ini, bekas Menteri Jabatan Perdana Menteri ini kelihatan lebih berkredibiliti ketika melontarkan kritikan terhadap PKR, dari apa yang ditampilkan media cetak akhbar.

Justeru itu, PKR dan pimpinan Ketua Umumnya Anwar Ibrahim (gambar kanan, kiri) terpalit lantaran daripada peristiwa ini. Kolumnis media cetak bahasa Cina meragui kepimpinan Anwar, malah menganggap keputusan Zaid (gambar kanan, kanan) memalit imej PKR; sementara sebahagian kecil pula menganggap Zaid terlalu kebudak-budakan dan senang merajuk.

Tujuh Kesilapan Anwar

Dalam satu artikel kolum berjudul "Tujuh Kesilapan", Timbalan Ketua Editor Sin Chew Daily, Lim Sue Goan menyenaraikan tujuh kesilapan yang dilakukan Anwar, menurut penilaiannya terhadap Anwar dalam tempoh lebih dua tahun kebelakangan ini.

Pertama, Anwar tidak respon kepada Program Transformasi Ekonomi yang diketengahkan oleh PM Najib; kedua, membiarkan semangat Pakatan Rakyat untuk terus menjunam; ketiga, tidak melaksanakan idealisme reformasi; keempat, organisasi Pakatan Rakyat yang lemah; kelima, Anwar tidak menggunakan pengalamannya sebagai Timbalan Perdana Menteri untuk menggabungkan sumber politik yang ada di empat negeri Pakatan Rakyat, misalnya mengemukakan dasar penyelesaian ekonomi; keenam, gagal menyelesaikan pergelutan kuasa dalam PKR; ketujuh, kekurangan daya pimpinan dan membuat pertimbangan.

Menurut Lim Sue Goan, Anwar memperlihatkan semangat yang tinggi sebelum 8 Mac 2008, tetapi amat berbeza setelah terjerat dengan kes mahkamah dan kegagalan rancangan 16 September 2008.

Tiada ruang untuk mereka yang beridealisme

Editor Eksekutif Sin Chew Daily pula, Lim Mun Fah menganggap kuasa mudah mengkorupkan seseorang. Beliau bermula dengan senario politik tanahair yang semakin ketara fenomena polarisasi dalam isu perkauman dan agama. Lim Mun Fah menganggap adalah sukar untuk Zaid Ibrahim, seorang ahli politik yang cenderung kepada pemikiran liberal, lebih terbuka dan sederhana, untuk mendapat tempat dalam gelanggang politik di Malaysia.

Melihat kepada nasib Zaid Ibrahim, Lim Mun Fah mengeluh bahawa bukan sahaja taktik-taktik yang pelbagai digunakan dalam persaingan antara parti dengan parti, malah pemilihan dalam parti sendiripun menyaksikan penggunaan taktik yang pelbagai untuk mengukuhkan kepentingan sekta sendiri.

Lim Mun Fah mengakhiri artikelnya yang disiarkan pada 10 November ini dengan, "...Sesungguhnya, 'kuasa' lebih memikat hati daripada 'idealisme'. Untuk mereka yang tidak sanggup dikorup kuasa, mungkin hanya mempunyai satu pilihan, iaitu menjadi pembangkang untuk selama-lamanya!"

"Pembangkang" yang dimaksudkan Lim Mun Fah adalah mereka yang lantang untuk menyuarakan kebenaran, demi prinsip dan bukan untuk menghambat kuasa. Dengan kata lain, beliau mengandaikan Zaid sebagai "pembangkang", yang gagal mendapat tempat dalam parti politik, walaupun dalam PKR yang mendakwa dirinya penggerak perubahan dan membawa politik baru.

PKR tanpa Zaid

Dalam satu artikel yang disiarkan pada 10 November di ruang Rencana, Kuay Chau Churh yang juga wartawan Sin Chew Daily melihat penarikan diri dan perletakan jawatan partinya secara tidak langsung memalit imej "keadilan" Parti Keadilan Rakyat.

Kuay Chau Churh sedar, sesungguhnya Zaid tidak melalui zaman reformasi seperti yang dialami sesetengah pemimpin yang ada, tetapi Zaid mempunyai idea yang memperlihatkan keterbukaan minda, misalnya menekankan keadilan, kesaksamaan tanpa perbezaan kelas. Beliau menganggap kelebihan dan pengalaman Zaid ini sebenarnya boleh mengisi kekosongan yang ada pada PKR dari segi pentadbiran.

Berikutan apa yang berlaku, Kuay Chau Churh menganggap penarikan diri Zaid mungkin memenuhi sesetengah agenda dalam parti, namun hasilnya mungkin mengakibatkan reputasi PKR terus menjunam. Pendek kata, tiada pemenang dalam pemilihan parti ini, tetapi cukup untuk mengecewakan rakyat.

Ulangi kelakuan Chandra Muzaffar?

Bagaimanapun, Timbalan Ketua Pengarang Sin Chew Daily, Tay Tian Yan mempunyai pandangan yang agak berbeza. Dalam artikel kolumnya pada 10 November, Tay Tian Yan cuba mengimbas kisah apabila intelektual seperti Chandra Muzaffar menyertai Parti Keadilan Nasional pada tahun 1999, dan kemudian keluar parti. Apa yang dilakukan oleh bekas Timbalan Presiden ini adalah menyerang PKR, tetapi mendiamkan diri apabila berdepan dengan kuasa pemerintah.

Tay Tian Yan menganggap intelektual harus mengkritik dan memantau kedua-dua pemerintah dan pembangkang berdasarkan prinsip yang sama. Apabila Chandra Muzaffar (gambar kanan) hanya meluahkan ketidakpuasan dirinya, beliau telah hilang penghormatan daripada masyarakat umum.

Untuk Tau Tian Yan, keadaan yang hampir sama kini berlaku pada Zaid Ibrahim. Zaid Ibrahim amat disegani ketika beliau meletak jawatan menteri demi mempertahankan prinsip. Namun, selepas Zaid Ibrahim menyertai PKR, selain rungutan, menarik diri dan meletak jawatan, entah apa yang dilakukan lagi.

Malah beliau berkata Zaid yang ditaruh harapan adalah Zaid yang mempunyai misi besar untuk menggerakkan perubahan politik, dan bukan Zaid yang hanya merungut dan merajuk.

Pemilihan parti bukan memilih malaikat!

Dalam kolum Lum Chih Feng yang disiarkan Oriental Daily pada 10 November, berjudul "Pemilihan Parti bukan mencari malaikat!", beliau menganggap kritikan Zaid Ibrahim terhadap pimpinan 2 A (Anwar dan Azmin) bukan sesuatu yang baru, tetapi sekadar mengulangi apa yang dikatakan oleh bekas ahli parlimen PKR yang keluar parti.

Malah, Lum Chih Feng berkata, anggota dalam parti sudah tidak asing dengan kritikan sedemikian, ada juga rintihan kadang-kala tetapi tidak sampai tahap hendak melenting.

"Dunia politik bukan dunia agama, pemilihan parti bukan untuk mencari malaikat, tetapi memilih mereka yang layak sebagai pemimpin, kuncinya kebertanggungjawaban dan kebijaksanaan untuk membuat pertimbangan. Apakah ciri-ciri ini dimiliki Zaid? Bagaimana pula dengan Azmin dan Mustaffa Kamil Ayub?" Lum mempersoalkan.

Zaid tubuh parti baru bersama Ong Tee Keat?

Dalam satu artikel kolum yang disiarkan Kwong Wah Yit Poh pada 12 November pula, Hu Yi Dao mendakwa dirinya menerima satu khabar angin melalui sms bahawa Zaid Ibrahim telah berunding dengan bekas Presiden MCA Ong Tee Keat untuk menubuhkan parti baru, malah 11 ahli parlimen akan menyertainya, termasuk wakil rakyat Wangsa Maju, Wee Choo Keong.

Bagaimanapun, ketika mengulas sikap Zaid Ibrahim, Hu Yi Dao menganggap Zaid Ibrahim terlalu emosional, umpama budak-budak yang senang merajuk. Beliau mengimbas beberapa pengalaman Zaid, yang pernah bekerjasama dengan Mahathir dan Abdullah Ahmad Badawi - semuanya diakhiri dengan sikap Zaid ini. Dan kni, sikap merajuk ini diulangi terhadap Anwar Ibrahim.

*Kaleidoskop adalah "digest" kandungan media cetak. Akhbar bahasa Cina yang dirujuk bertarikh dari 10 hingga 12 November 2010, berkisar pada isu penarikan diri dari pemilihan parti dan perletakan jawatan parti oleh Zaid Ibrahim.

Tiada ulasan: