Jumaat, 19 November 2010

Pemain Kelantan terima bonus, kenaikan gaji RM1 juta

BERNAMA

KOTA BARU – Pemain Kelantan yang menjuarai Piala Malaysia baru-baru ini bakal mendapat “durian runtuh”.

“Durian runtuh” berjumlah kira-kira RM1 juta yang berupa bonus dan kenaikan gaji mulai bulan ini dari Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) dan pihak swasta itu diumum presiden Kafa Tan Sri Anuar Musa.

“Kesemua mereka akan menerima bonus ini pada bulan ini juga. Pemberian bonus dan kenaikan gaji ini adalah sangat wajar selepas menjuarai Piala Malaysia,” katanya selepas Majlis Sambutan Aidiladha bersama media di Kompleks Kafa di sini, hari ini.

Beliau berkata kenaikan gaji yang melibatkan kos keseluruhannya kira-kira RM500,000 setiap bulan bermula bulan ini juga dianggap wajar sebagai dorongan agar pemain meningkatkan prestasi pada kempen Liga Malaysia musim baru ini.

Annuar berkata Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat juga akan mengumumkan pemberian insentif berbentuk wang tunai yang dijangka melebihi RM300,000 selepas beliau pulang daripada menunaikan haji di Mekah.

Sementara itu, Anuar berkata Liga Malaysia musim baru ini menyaksikan Kelantan menggugurkan tiga pemain lama iaitu bekas penjaga gol, Halim Napi, Che Hishamudin Hassan (penyerang) dan Sarudi Aziz (pertahanan).

Mereka akan digantikan tiga pemain muda yang berkaliber iaitu bekas pemain Johor FC, Nurul Azwan Roya, Mat Aziz Ismail (KL Plus) dan bekas pemain Perlis, Kay So Ley.

“Hairuddin Omar dan Akmal Rizal Ahmad Rakhli pula diberi pilihan sama ada mahu menyertai pasukan lain atau terus bersama Kelantan pada musim baru ini,” katanya.

Annuar berkata kontrak ketua jurulatih B. Sathianathan juga akan disambung dan Kafa akan mendapatkan seorang lagi jurulatih kecergasan bagi memantapkan pasukan.

Tiada ulasan: