GUA MUSANG— Pengarah Pilihan Raya PAS pusat Datuk Halim Abdul Rahman mengakui pihaknya kini bergantung pada pengundi atas pagar untuk mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas Khamis ini.
Selain undi atas pagar, menurut Halim, pihaknya juga memerlukan sokongan padu ahli-ahli PAS sendiri untuk menjamin kemenangan calon mereka Dr Zulkefli Mohamad.
Kerusi DUN Galas menyaksikan pertarungan satu lawan satu di mana Barisan Nasional (BN) meletakkan Setiausaha Umno Gua Musang Abdul Aziz Yusoff manakala PAS, yang mewakili Pakatan Rakyat, meletakkan Zulkefli yang juga pemangku Yang Dipertua PAS Gua Musang.
“Mengenai soal sokongan, saya rasa ia masih tidak dapat untuk menilainya. Ia bergantung kepada strategi yang kita lakukan.
“Walaupun saya yakin menang, namun kita juga bergantung pada undi atas pagar dan orang PAS sendiri untuk menang.
“Kalau serangan BN berjaya, undi kita akan turun.
“Begitu juga dengan undi di Sungai Terah yang dulu (pada 8 Mac 2008) kita menang di sana, kalau kita tewas di sana mungkin kita akan kalah,” kata Halim pada sidang media harian di Markas Pilihan Raya Kecil PAS DUN Galas di sini.
Satu tinjauan The Malaysian Insider menunjukkan BN mendahului PAS, yang mewakili Pakatan Rakyat, dengan sokongan 51 peratus setakat semalam. Sementara PAS menerima sokongan 42 peratus responden baki tujuh peratus masih belum memutuskan pilihan mereka.
Pada hari pertama kempen PAS mengumumkan bahawa pihaknya bergerak dengan sokongan asas pada paras 48 peratus dan melihatnya sebagai ‘underdog’.
Malah kelmarin, Penasihat Jentera Pilihan Raya PAS DUN Galas Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdul berkata, parti itu masih lagi dilihat sebagai ‘underdog’ dengan sokongan sekitar 49 peratus - naik satu peratus berbanding awal minggu lalu.
Wan Abdul Rahim juga mengakui BN masih lagi mendahului dari segi sokongan pengundi.
Seramai 11,553 pengundi layak untuk mengundi pada pilihan raya kecil kali ini iaitu Melayu 7,125 orang atau 61.7 peratus, kaum Cina 2,317 atau 20.06 peratus, India 185, Bumiputera Siam 10 orang dan Orang Asli 1,889 orang.
Pada sidang media itu, Halim yang juga Ahli Parlimen Pengkalan Chepa turut melabelkan Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah sebagai ‘ejen’ BN untuk memberi sogokan kepada pengundi-pengundi di DUN Galas.
“Kita percaya BN akan gunakan senjata kewangan mereka, walaupun jika dilihat dari sudut pergerakan BN ia nampak perlahan tapi ‘air yang tenang jangan disangka tiada buaya’.
“Ku Li (Tengku Razaeligh) akan mempertahankan maruah dan beliau perlu buktikan bahawa beliau masih mempunyai kekuatan di Gua Musang.
“Saya percaya Ku Li melalui orang-orangnya akan bergerak rumah ke rumah untuk memberi sogokan kepada pengundi. Ini adalah senjata terakhir mereka,” katanya.
Ini merupakan serangan kali kedua terhadap Tengku Razaleigh yang mana sebelum ini Wan Abdul Rahim menuduh beliau sebagai “pengkhianat” berhubung isu Orang Asli di Gua Musang.
Tambah Halim, beliau bagaimanapun mengakui Tengku Razaleigh mempunyai kekuatan tersendiri di Gua Musang.
“Kekuatan Ku Li ada, Umno Gua Musang adalah Umno Ku Li selama-lamanya. Saya akui beliau ada kekuatan di sini.
“Sejauh mana kekuatan itu kita tidak tahu,” katanya.
Pilihan raya kecil DUN Galas diadakan berikutan kematian penyandangnya daripada PAS, Che Hashim Sulaima, 46, yang meninggal dunia akibat barah usus pada 27 September lepas.
Che Hashim menewaskan calon BN Mohamed Saufi Deraman dengan majoriti 646 undi pada pilihan raya umum 2008.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan