Ahad, 21 November 2010

Pakatan: Kami tak risau, pindaan kosmetik bukti BN makin lemah



Hadi mendakwa langkah terbaru BN adalah bagi menutup kelemahan di kalangan parti komponennya. — gambar fail

KUALA LUMPUR — Pakatan Rakyat (PR) menyifatkan langkah Barisan Nasional (BN) membuat beberapa pindaan peraturan, antaranya menerima anggota langsung serta-merta sebagai langkah terdesak dan mahu menutup kelemahan yang wujud di kalangan komponennya.

Ia pindaan paling besar sejak BN ditubuhkan awal 1970-an bagi menggantikan Perikatan dengan lebih banyak keanggotaan.

Namun bagi pemimpin PR, langkah yang diambil BN itu semata-mata mahu menutup kelemahan parti komponen dan mengaburi rakyat tentang jumlah sokongan terhadap BN.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, langkah terbaru BN itu jelas menunjukkan BN kini berhadapan dengan krisis besar terutamanya di kalangan parti komponen.

“Saya menganggap itu tanda BN sudah mempunyai kelemahan yang teruk dan untuk tampung kelemahan itu mereka terpaksa buat begitu.

“Kelemahan itu berpunca daripada parti komponen BN, semua orang pun tahu krisis yang dialami dalam BN. Sebab itu, BN terpaksa mengambil langkah ini,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang menolak dakwaan bahawa langkah BN tersebut akan memberi kesan terhadap sokongan rakyat kepada PR.

“Bagi saya langkah yang diambil BN itu tidak akan beri kesan pun kepada Pakatan Rakyat.

“BN terpaksa buat macam itu sebab nak atasi kelemahan parti komponen, itu sahaja,” katanya.

Semalam Pengerusi BN Datuk Seri Najib Razak berkata, Dewan Tertinggi meluluskan langkah menerima anggota-anggota langsung, sistem yang mirip diguna pakai oleh Perikatan awal 1970-an.

Selain itu, BN juga akan menubuhkan kelab Rakan Muda BN bagi menarik penyokong berusia antara 18 dan 21 tahun.

Najib yang juga menjelaskan keputusan bersejarah itu memperlihatkan usaha BN menjadi parti yang inklusif dan terbuka kepada semua yang berkongsi pada konsep, prinsip dan dasar perjuangan parti pemerintah berkenaan dan selesa dan serasi jika menjadi anggota bersekutu.

“Mereka yang ingin menyertai BN boleh mohon secara terus menjadi anggota bersekutu. Bagaimanapun Dewan Tertinggi BN akan tentukan hak-hak dan keistimwewaan mereka yang menjadi ahli (anggota) bersekutu.

“Anggota bersekutu tidak mempunyai hak yang sama seperti mana anggota pada parti komponen tetapi kita ingin memperlihatkan BN sebagai parti yang inklusif dan bersikap pintu terbuka,” katanya.

Beliau berkata Dewan Tertinggi BN turut memutuskan bahawa keanggotaan bergabung boleh dipohon secara terus yang bererti mana-mana pertubuhan politik, persatuan, pertubuhan bukan kerajaan boleh memohon menjadi anggota.

Dalam pada itu, Naib Presiden PKR Mustaffa Kamil Ayub berkata, langkah BN meluluskan pindaan untuk menerima anggota-anggota langsung dengan serta-merta jelas menunjukkan ikatan parti komponen BN semakin longgar.

“Dari segi gambaran politik ia memang nak tutup kelemahan yang ada dalam BN kerana sekrang kita lihat ikatan parti komponen BN semakin longgar.

“Oleh yang demikian langkah ini diambil untuk mengaburi rakyat dari jumlah sokongan kepada BN.

“Justeru saya melihat langkah ini adalah satu perubahan teknikal sahaja dalam konteks untuk membawa NGO kepada BN dengan lebih rapat lagi,” katanya.

Beliau berkata, hanya NGO yang selama ini rapat dan bergantung kepada bantuan yang diberkan BN yang akan menyertainya.

“Kalau kita lihat selama ini pun NGO sentiasa dapat bantuan daripada kerajaan dan langkah ini membolehkan NGO yang condong kepada BN akan lebih rapat lagi.

“Ini juga langkah percubaan BN untuk tambah sokongan NGO yang ada tapi saya percaya NGO lebih cenderung untuk mempunyai pendirian tersendiri dalam politik,” katanya lagi.

Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua berkata, langkah ini semata-mata mendapatkan semula sokongan rakyat yang kini dilihat lebih cenderung kepada Pakatan Rakyat berbanding BN.

“Itu hanya satu langkah kosmetik yang diambil BN kerana melihat rakyat sudah tidak mempunyai keyakinan kepada parti komponen.

“Ini kerana kalau ada keyakinan BN tidak perlu buat macam ini, bagi saya ini hanya langkah kosmetik sahaja.

“Langkah ini juga tidak akan membawa apa-apa kebaikan kepada BN dan ia hanya publisiti untuk menunjukkan BN mahu berubah,” katanya.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu juga berkata, langkah terbaru BN itu juga semata-mata mahu memulihkan sokongan pengundi dalam pilihan raya akan datang dan ia langsung tidak akan memberikan kesan kepada Pakatan Rakyat.

“Ia juga adalah salah satu langkah BN bagi menghadapi pilihan raya, BN terpaksa buat macam ini sebab nak melindungi kelemahan parti komponen sebab rakyat tiada keyakinan kepada parti komponen.

“Kesan kepada Pakatan Rakyat? Pada saya langkah yang diambil BN ini tidak beri apa-apa kesan pun kepada kita.

“Yang sokong BN akan tetap sokong BN, langkah itu tidak akan menarik ahli PR begitu juga pengundi atas pagar,” katanya.

11 ulasan:

Hosie Masie berkata...

Kita tidak pasti siapa yang lemah sekarang. BN mungkin tidak akan mengalah begitu saja.

zam berkata...

PAS tidak perlulah mengatakan BN menjadi semakin lemah kerana pindaan yang dibuat oleh BN adalah untuk menjadikan parti lebih relevan dan kekal kuat.

Tanpa Nama berkata...

pindaan tersebut dilakukan bagi memstikan jentera BN makin kukuh. pakatan seharusnya memikirkan tentang masalah dalaman mereka.

Tanpa Nama berkata...

apa yang dilakukan oleh BN adalah untuk memulihkan keyakinan pengundi atau sebagai strategi mengukuhkan parti. menyedari kelemahan dan melakukan pembaikan adalah lebih baik dari tidak mengakui kelemahan sebaliknya mengkritik kelemahan pihak lain.

Tanpa Nama berkata...

bagi saya PAS lah yang semakin terdesak sehingga sanggup mempertikaikan usaha pihak lain. PAS sebenarnya rasa tergugat setelah menyaksikan BN semakin hari semakin maju kehadapan berbanding dengan PR yang semakin kebelakang. saya harap selepas ini PAS sentiasa melihat cermin sebelum keluar rumah..

Tanpa Nama berkata...

PAS perlu tanya diri sendiri, adakah PAS sudah cukup kuat sedangkan PAS tidak mampu mempertahankan Galas.. adakah PR semakin kuat sedangkan PKR kalah di Batu Sapi dan DAP sering menerima kritikan dari rakyat..

Anak Sabah berkata...

Jangan terlalu Yakin Pakatan, situasi terkina dalam PKR juga bukannya baik sangat. Lebih baik berusaha membaiki kelemahan diri daripada mencari kelemahan parti yang lain.

BN juga jangan terlalu angkuh kerana tiada apa-apa yang pasti sekarang.

Anak Sabah berkata...

Jika tidak terus berusaha, sesuatu parti yang kuat juga akan menjadi lemah akhirnya.

Bujang Senang berkata...

Lemah atau tidak kita tengok saja nanti. Itu mungkin cara untuk PAS menghilangkan rasa takut dengan BN kerana kekalahan baru-baru ini.

Bujang Senang berkata...

Macammana dengan PR sekarang,DAP dan PAS ok xda masalah tapi PKR apa sudah jadi??PR selesaikanlah dulu masalah dalaman sendiri. Apa yang berlaku dengan PKR sekarang akan melemahkan PR sendiri. Memang nampak PKR sekarang dalam keadaan huru-hara, 600 orang protest menyuruh anwar dan azmin keluar PKR??Ketua sendiri dihalau keluar parti. Tidakkah ini dikatakan melampau.

Gopuk berkata...

Tidak perlu risau, yang penting ada strategi untuk menarik lagi ramai pengundi dan penyokong. Tapi yang penting jangan pula bertidak kotor.