Menteri Besar Selangor menegaskan kos majlis itu masih kekal RM300,000 sebagaimana dimaklumkan sebelum ini.
Majlis itu yang sepatutnya diadakan hari ini telah dibatalkan selepas Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah memutuskan untuk tidak hadir kerana dukacita setelah dimaklumkan perbelanjaan melebihi RM300,000.
Bagaimanapun Timbalan Pengerusi Umno Selangor Datuk Noh Omar mendakwa lebih RM800,000 telah dibelanjakan untuk menganjurkan majlis tersebut.
“Angka yang diberikan kepada saya hanya RM300,000,” kata Khalid kepada pemberita di bangunan Dewan Undangan Negeri Selangor hari ini.
“Biar beliau (Noh Omar) tampil dan menjelaskan (angka RM800,000),” kata beliau.
Semalam, Khalid berkata siasatan awal berhubung keputusan kontroversi untuk membelanjakan RM300,000 bagi majlis sambutan ulang tahun ke-40 Yayasan Selangor menunjukkan penglibatan pejabat Timbalan Pengurus Besar yayasan itu.
Sehubungan itu, Khalid yang juga pengerusi yayasan tersebut berkata bagi memastikan siasatan dilakukan dengan cepat dan bebas, kerajaan negeri telah mengarahkan Timbalan Pengurus Besar Yayasan Selangor Mohd Sharifuldin Sulaiman mengambil cuti bergaji selama sebulan berkuat kuasa serta merta sehingga siasatan selesai.
“Kerajaan menghargai setiap maklumat salah laku bagi memastikan pentadbiran negeri dan anak syarikat diuruskan dengan telus dan bertanggungjawab.
“Kita juga tidak akan teragak-agak untuk membuat keputusan berani termasuk membawa mana-mana individu yang terbukti melakukan salah guna kuasa ke muka pengadilan,” katanya.
Sultan Selangor membatalkan hasrat menghadiri majlis sambutan itu Jumaat lalu.
Kelmarin, Noh mendakwa pembaziran dalam penganjuran majlis itu bukannya melebihi RM300,000 seperti yang dilaporkan sebelum ini tetapi melebihi RM800,000.
Pengurus Besar Yayasan Selangor Ilham Marzuki sebelum ini dilaporkan berkata kos sebenar majlis itu adalah RM285,000 bagi menampung penyediaan makanan untuk jemputan khas seramai 200 orang kenamaan dan 2,000 tetamu lain.
Menteri Besar Selangor juga membidas Noh kerana akaun agensi kebajikan pendidikan itu tidak diaudit selama empat tahun ketika kerajaan negeri diterajui Barisan Nasional (BN).
Pakatan Rakyat mengambil alih kerajaan negeri pada Mac 2008.
“Sepanjang empat tahun lalu, akaun Yayasan Selangor tidak diaudit,” kata Khalid.
Pada sidang media berasingan, Adun Sri Muda Shuhaimi Shafiei mendakwa 90 peratus daripada bil RM300,000 bagi majlis itu atau RM280,000 sudah pun dibayar kepada syarikat pengurusan majlis terbabit.
“Kontraktor telah pun dibayar 90 peratus, kira-kira RM280,000 telah dibayar dalam dua ansurans kepada satu syarikat pengurusan majlis.
“Sebanyak 25 hingga 30 peratus deposit adalah normal, tetapi bukannya 80 hingga 90 peratus,” kata beliau.
Apabila pemberita membangkitkan dakwaan Shuhaimi dan bertanya sama ada kerajaan negeri akan dikembalikan wang yang sudah dibayar, Khalid berkata: “Ya. ya.”
10 ulasan:
pertama, samada benar atau tidak dakwaan yang membabitkan rm800 ribu oleh Noh, perkara ini perlu disiasat atau Noh sendiri memberikan penjelasan secara terperinci. kedua, kerajaan pembangkang juga tidak lari dari amalan pembaziran wang rakyat.. ini yang perlu rakyat pertimbangkan sebelum menyokong pembangkang(PR).
memandangkan majlis itu telah dibatalkan, pastikan wang yang telah dibayar kepada kontraktor dapat dikembalikan semula kepada kerajaan negeri untuk disalurkan kemana2 program atau projek yang dapat dinikmati oleh rakyat sepertimana yang disarankan oleh sultan selangor sebelum ini.
Menafikan atau tidak apa yang penting sekali ialah siasatan perlu untuk menguatkan tuduhan tersebut. Mungkin dengan siasatan boleh memastikan kebenarannya.
tak perlulah nak membazirkan banyak wang semata2 untuk majlis makan malam itu sahaja. lebih baik wang tersebut disumbangkan kepada rakyat.
kerajaan Negeri Selagor tidak sepatutnya melakukan pembaziran yang begitu banyak. mereka sepatutnya mengawal perbelanjaan dan menyalurkan kepada rakyat yang lebih memerlukan.
Jika tidak benar silalah kemukakan bukti tidk bersalah...
Sebagai organisasi di bawah kerajaan, perlulah pandai berbelanja. Berbelajalah bila perlu, dan berjimatlah bila boleh.
Perkara ini wajarlah disiasat sama ada dakwaan Noh Omar ini betul ataupun tidak.
pengurusan perbelanjaan dan kewangan perlulah dibuat secara berhemah agar tidak berlaku pembaziran.
pengurusan kewangan perlulah sistematik agar tidak berlaku pembaziran.
Catat Ulasan