Selasa, 24 Ogos 2010

Kanak-Kanak Prasekolah Nyaris Buta Terkena Letupan Mercun Bola

BERNAMA

KOTA BARU: Seorang kanak-kanak prasekolah nyaris buta apabila mercun bola yang dinyalakannya meletup di hadapan matanya dalam satu kejadian, di Kampung Banggu di sini Isnin.

Raja Afzan Raja Zakaria, 6, yang menemui mercun itu berhampiran rumahnya dikatakan ingin tahu bagaimana mercun itu berfungsi sebelum membakar sumbu mercun tersebut.

"Katanya lepas dia (Raja Afzan) jumpa (mercun), dia cucuh api kemudian duduk dan tengok sahaja mercun tu dari jarak dekat tanpa membalingnya, sebab itulah dia cedera teruk," kata abang saudara mangsa, Edi Safwan Li, 21, ketika ditemui di Hospital Raja Perempuan Zainab Dua, di sini.

Katanya Raja Afzan bernasib baik kerana doktor mengesahkan bahawa mata kanak-kanak itu tidak cedera dan hanya bahagian kelopak sahaja yang terbakar.

Kejadian hari ini adalah yang ketiga direkodkan di Kelantan setakat ini.

Semalam seorang murid Tahun Dua cedera ringan di mata, muka dan tangan kiri selepas mercun bola yang dijumpainya meletup, manakala dalam kejadian Selasa lepas, seorang kanak-kanak berusia empat tahun cedera parah di tangan kanannya selepas mercun jenis sama meletup dalam genggaman.

Tiada ulasan: