Isnin, 30 Ogos 2010

Sabah 12: Tiga digantung, baki diberi amaran

Joe Fernandez

Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR telah menolak syor jawatankuasa disiplin untuk menggantung keahlian 12 pemimpin PKR Sabah, dan memutuskan untuk melepaskan sembilan daripada mereka dengan diberi amaran.

MPP bagaimanapun mengesahkan syor jawatankuasa disiplin untuk menggantung selama setahun keahlian presiden penaja Parti Cinta Sabah (PCS) Daniel John Jambun, timbalan presiden Awang Ahmad Sah dan setiausaha Moses Iking - semuanya aktivis kanan Sabah - tetapi mereka boleh merayu terhadap keputusan tersebut.

Hukuman ke atas mereka dijangka dikurangkan kepada separuh selepas rayuan dibuat dan dikebelakangkan kepada 3 Disember.

Ini adalah tarikh permohonan dibuat untuk mendaftar PCS di Kota Kinabalu dan dilaporkan telah ditarik balik dalam tempoh 24 jam.

Dengan itu, ketiga-tiga mereka masih layak untuk bertanding dalam pemilihan parti yang dijadualkan pada 18 September. Mereka masing-masing bertanding jawatan ketua cabang Sepanggar, Putatan dan Keningau.

Manakala hukuman ke atas sembilan orang lagi - yang turut disyorkan oleh jawtankuasa disiplin digantung keahlian selama setahun - diganti dengan diberi surat amaran.

Tiada ulasan: