Selasa, 24 Ogos 2010

Empat lagi cedera bahana mercun

BERITA HARIAN ONLINE

KOTA BHARU: Empat kanak-kanak cedera parah termasuk ada yang hampir putus jari dan cacat penglihatan akibat terkena letupan mercun bola serta botol yang dipegang mereka ketika bermain bahan larangan itu dalam kejadian di seluruh negeri ini sehingga semalam.

Dalam kejadian terbaru jam 9 pagi semalam, seorang murid prasekolah Sekolah Kebangsaan (SK) Banggu dekat Binjai, di sini, Raja Afzan Raja Zakaria, 6, melecur di muka dan dua matanya apabila mercun botol dibakarnya meletup sebaik dinyalakan sumbunya.

Akibat kejadian itu, mangsa yang juga anak ke tiga daripada enam beradik parah di bahagian muka. Kejadian menimpa mangsa disedari adik perempuannya, Raja Hayati, 5, yang sebelum itu melihat abangnya membakar mercun terbabit.

"Che Nab membawa Raja Afzan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) Kota Bharu untuk rawatan kecemasan jam 10 pagi dan kini diberi rawatan susulan dalam wad.

"Ketika ini, ayah mangsa tiada di rumah kerana menunaikan umrah di Makkah dan belum dimaklumkan kejadian itu kerana bimbang menjejaskan ibadahnya di sana," katanya.

Sementara itu di Bachok, dua beradik masing-masing berusia 4 dan 5 tahun
cedera dan seorang daripadanya hampir putus jari kanannya dan terpaksa menerima 19 jahitan di hospital sama.

Mohd Haziq Haikal Mohd Zukrin, 4, parah pada jari tangan kanannya selepas terkena letupan mercun bola yang dibakarnya di laman rumah dekat Kampung Aril, Bachok, minggu lalu.

Bapa mangsa, Mohd Zukrin Ibrahim, 33, berkata kejadian berlaku ketika dia dan isteri menunaikan solat Tarawih di surau kampung itu, manakala Haziq dan kakaknya, Nurin Imani, 5, bermain dengan rakan sebaya di depan surau.

Sebaik mendengar tangisan kanak-kanak, saya bergegas keluar dan terkejut melihat tangan Haziq berlumuran darah, manakala Nurin pula cedera di lengan kirinya dan mereka dirawat di wad HRPZ II Kota Bharu, katanya.

Pada hari ketiga Ramadan lalu, seorang murid Tahun Tiga, Samin Nasran Abdul Rahman, cedera di muka dan tangan akibat letupan mercun bola ketika membakar bahan larangan itu di laman rumahnya dekat Kampung Tersang dekat Pasir Mas.

Akibat kecederaan itu, mangsa, Shamin Nasran turut menerima rawatan di HRPZ II beberapa hari dan sudah dibenarkan pulang.

Tiada ulasan: