Selasa, 31 Ogos 2010

Surau: Hasan akan panggil Khusrin

Ismail Hashim

SHAH ALAM: Exco Hal Ehwal Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali akan memanggil Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Datuk Mohammad Khusrin Munawi dalam masa terdekat.

Beliau berkata demikian berhubung isu penyertaan Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching dalam majlis bantuan kewangan kerajan negeri di Surau Al-Huda, Kajang Sentral, Kajang baru-baru ini.

Dalam sidang akhbar yang diadakan di Bangunan SUK, dekat sini petang tadi, Dr Hasan berkata, usaha itu dilakukan untuk mendapatkan penjelasan mengenai tindakan yang telah diambil oleh Khusrin berhubung perkara itu.

“Dalam pertemuan itu nanti, banyak perkara boleh dikongsi bersama kerana saya telah mendapat banyak input dari kalangan masyarakat termasuk intelektual yang pakar dalam bidang berkaitan yang memerlukan perbincangan lanjut,” jelasnya.

Sebelum itu, Dr Hasan menegaskan perkara itu telah dieksploitasi oleh pihak-pihak yang ingin menangguk di air keruh lantas keadaan ini telah menimbulkan reaksi segera di pihak Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dan Jais.

“Sedangkan Teo memang dijemput sebagai tetamu atas sifat beliau sebagai Ahli Parlimen Serdang di mana beliau dijemput menyampaikan bantuan kewangan yang diperuntukkan oleh Kerajaan Negeri Selangor di bawah parlimen itu.

“Beliau telah dijemput masuk ke dewan solat surau untuk menyampaikan bantuan dan seterusnya menyampaikan ucapan ringkas. Ucapan beliau tertumpu kepada usaha-usaha kerajaan negeri dalam membantu pelajar yang ingin menyambung pelajaran ke peringkat pengajian tinggi,” jelasnya.

Ekoran dari itu, Pengerusi serta Bendahari Surau dan Pembantu Khas Teo dipanggil memberi keterangan di hadapan Pengerusi Mais, Pengarah Jais dan wakil istana lalu keputusan diambil dengan membubarkan jawatankuasa surau dan Masi mengambil alih pentadbiran surau.

Dr Hasan kesal kerana ada akhbar melaporkan kejadian itu dengan begitu berat sebelah antaranya Teo dikatakan menyampaikan ‘tazkirah’ dan dalam majlis itu beliau disebutkan sebagai menyampaikan bantuan kewangan kepada ahli-ahli PAS.

“Berdasarkan rentetan kejadian di atas saya telah mengambil inisiatif berikut antaranya, cuba menasihatkan semua pihak termasuk ahli-ahli politik demi menjaga sensitiviti setiap golongan rakyat mereka dengan memaklumkan rancangan kehadiran mereka kepada pihak-pihak yang berwajib supaya tatacara penggunaan surau dan masjid dapat dipatuhi.

“Saya juga akan mencadangkan supaya digubal peraturan yang lebih detail dengan memperincikan langkah-langkah yang mesti diambil dan tatasusila yang mesti dipelihara bagi mereka yang berhajat menggunakan kemudahan surau dan masjid di Negeri Selangor,” tegasnya.

Menjawab satu pertanyaan tentang desakan Pemuda Umno agar beliau meletakkan jawatan ekoran peristiwa ini, Dr Hasan berseloroh, jika ikut desakan itu, setiap kali bukan Islam masuk masjid, sudah beribu kali beliau terpaksa meletakkan jawatan.

Persoalan di sini, jelasnya, adalah bagaimana peraturan sebenar dan bagaimana pula penguatkuasaannya, tidak timbul masalah Hasan Ali tetapi yang utama, isu ini segera diselesaikan.

Tiada ulasan: