Sabtu, 28 Ogos 2010

Polis cekup 16 lagi GRO di Mentari Court, PJ

Fadzly Esa

Enam belas pelayan perhubungan pelanggan (GRO) dicekup polis di sebuah pusat karaoke di Mentari Court, Petaling Jaya, awal pagi ini.

Irama lagu Aidulfitri yang berkumandang pada telefon bimbit milik seorang GRO tempatan ketika mereka disoal-siasat menggamankan suasana seketika.
Pada serbuan bermula jam 11 malam semalam hingga 12.30 awal pagi ini, selain 16 orang GRO warga Indonesia, China dan Vietnam berusia 20-an hingga 30-an ditahan, turut ditahan adalah lima wanita tempatan.

Serbuan dilakukan oleh tiga pegawai dan sembilan anggota dari Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya hasil maklumat awam dan intipan selama seminggu.

Ketua operasi, Asisten Supritendan Mohd Nazri Daud berkata pihaknya pernah menyerbu di lokasi ini yang dahulunya beroperasi sebagai pusat hiburan sebanyak tiga kali atas kesalahan melebihi masa operasi ditetapkan pada 2007.

Bagaimanapun,setelah tiga tahun pusat hiburan itu tutup, pihaknya menyerbu semula premis ini tetapi menjalankan aktiviti perniagaan berlainan iaitu pusat karaoke.

Mengulas lanjut, katanya lagi, difahamkan pusat karaoke ini telah beroperasi sejak tiga bulan lalu tanpa lesen sementara menunggu kelulusan daripada Majlis Daerah Petaling Jaya (MBPJ).

“Kami akan menghubungi pegawai agensi penguatkuasaan dalam jangka masa terdekat untuk mengetahui sama ada premis tersebut membuat permohonan lesen atau tidak,” ujarnya.

Mohd Nazri berkata, menerusi maklumat diterima, pengunjung hanya perlu membayar RM80 untuk mendapat layanan istimewa dari GRO tempatan manakala GRO warga asing pula mengenakan bayaran RM100 bagi setiap jam.

Namun setiap pengunjung diwajipkan menyewa bilik karaoke untuk sekurang-kurangnya dua jam dan layanan istimewa yang diberikan itu dipercayai termasuk perkhidmatan seks.

Tambahnya, siasatan mendapati semua wanita-wanita itu mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

“Turut ditahan bagi tujuan pemeriksaan ialah seorang penjaga premis, 10 pengunjung berusia antara 19 hingga 50 tahun yang berada di bilik karaoke itu,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohd Nazri berkata, pihaknya turut menyerbu sebuah premis menawarkan perkhidmatan seks tidak jauh daripada pusat karaoke itu.

Menurutnya, dua lelaki dipercayai penjaga premis termasuk dua orang warga Indonesia, seorang China dan seorang Vietnam berusia awal 20-an ditahan.

Beliau mendapati, premis yang dipercayai baru beroperasi enam bulan lalu turut dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) bagi memudahkan pemantauan dilakukan apabila diserbu pihak berkuasa

Katanya, semua yang ditahan itu dibawa ke ibu pejabat Polis Daerah Petaling Jaya untuk siasatan lanjut.

"Mereka akan disiasat mengikut Seksyen 39 (b) Peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat pas lawatan sosial serta permit yang jika sabit kesalahan boleh membawa kepada hukuman penjara tidak melebihi enam bulan atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya sekali.

“Selain itu, pemilik premis akan disiasat di bawah Seksyen 55B Akta Imigresen iaitu menggaji dan melindungi warga asing bekerja tanpa permit,” ujarnya.

Tiada ulasan: