Isnin, 30 Ogos 2010

Nurul Izzah mahu mohon permit akhbar harian ‘Utusan Rakyat’



Nurul Izzah membuat permohonan tersebut atas kapasiti peribadinya. — gambar fail

KUALA LUMPUR — Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar bercadang mahu menerbitkan akhbar harian — Utusan Rakyat — ketika Kementerian Dalam Negeri masih belum memperbaharui permit akhbar mingguan terbitan partinya, Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Wakil rakyat PKR penggal pertama ini berkata, surat hasrat untuk menerbitkan akhbar itu telah pun dihantar kepada Kementerian Dalam Negeri hari ini.

“Saya minta sokongan menteri agar permohonan ini dipercepatkan,” kata Nurul Izzah kepada The Malaysian Insider.

Kini pasaran tempatan mempunyai akhbar harian Bahasa Malaysia Berita Harian, Utusan Malaysia, Sinar Harian, KOSMO dan Metro.

Anak sulung Datuk Seri Anwar Ibrahim ini berkata, permohonan itu dibuat atas kapasiti peribadinya.

Bagaimanapun kata beliau, butiran pengurusan penerbitan itu akan diputuskan kemudian.

“Kami akan memutuskan soal hak milik dan butiran lanjut kemudian,” kata beliau.

Menurut Nurul Izzah, pegawai kementerian ada memberitahunya bahawa permit penerbitan akhbar harian itu akan diluluskan jika pihaknya memenuhi kesemua syarat yang dikenakan.

Permit penerbitan perlu diperbaharui setiap tahun.

PAS pernah membuat permohonan sedemikian pada 2000 menggunakan nama Purnama tetapi telah ditolak oleh Kementerian Dalam Negeri.

Nurul Izzah muncul dengan idea ini ketika Kementerian Dalam Negeri belum memperbaharui permit akhbar rasmi PKR, Suara Keadilan yang diterbitkan setiap minggu.

Suara Keadilan juga telah diberikan surat tunjuk sebab ekoran penerbitan edisi akhir Jun lalu dengan tajuk muka depan “Felda Bangkrap”, yang mendakwa agensi itu kini berada di ambang muflis.

Dua lagi komponen Pakatan Rakyat, DAP dan PAS juga pernah berhadapan dengan masalah permit penerbitan diperbaharui.

Bagaimanapun Harakah dan The Rocket telah menerima permit masing-masing akhir Julai dan dua minggu lalu.

Kedua-duanya dikenakan syarat hanya boleh dijual kepada ahli masing-masing dan premis masing-masing, bukannya secara terbuka.

Tiada ulasan: