Sabtu, 28 Ogos 2010

Krisis mula melanda SPDP


200px-Spdp-gif Oleh Joseph Tawie

KUCHING: Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP) mula dilanda krisis apabila lapan ahlinya tidak hadir pada mesyuarat-mesyuarat majlis tertinggi dan menimbulkan rasa bimbang ketika parti sedang membuat persiapan menghadapi pilihan raya negeri tidak lama lagi.

"Ini merupakan satu masalah besar buat Presiden SPDP William Mawan kerana beliau tidak dapat mengatasinya," kata seorang pemerhati.

Lapan ahli tersebut ialah Peter Nansian (Tasik Biru), Sylvester Enteri (Marudi), Rosey Yunus (Bekenu), Paulus Gumbang (Batu Danau), MP Tiki Lafe (Mas Gading), dan ahli majlis tertinggi George Garai, Peter Gani and Ida Egar.

Untuk kali ketiga berturut-turut, mereka gagal menghadiri mesyuarat majlis tertinggi. Tapi kali ini mereka memberi berbagai sebab, termasuk alasan yang bodoh.

Jika tidak kerana alasan-alasan itu, kelapan-lapan mereka, menurut perlembagaan parti, secara otomatik boleh dipecat dari ahli majlis tertinggi.

Pada mesyuarat semalam, ketidakhadiran mereka dengan sengaja menjadi isu utama perdebatan. Kelihatan ahli-ahli majlis berlainan pendapat mengenai cara menyelesaikan masalah ini.

Ahli-ahli yang garang mendesak tindakan tegas diambil terhadap mereka, termasuk pemecatan, tapi mereka yang lebih liberal memilih untuk memberi mereka peluang sekali lagi.

Dalam satu wawancara bersama FMT, Mawan berkata, beliau secara peribadi menulis surat kepada setiap seorang daripada mereka, merayu supaya hadir mesyuarat kerana mereka membincangkan isu, di antara lain, persiapan menghadapi pilihan raya negeri.

"Kami mahu mereka kembali bekerja seperti sebuah pasukan. Kerja berpasukan adalah penting untuk memastikan kejayaan dan untuk memelihara kepentingan Barisan Nasional (BN).

"Pergaduhan kami ibarat suami isteri. Saya pasti mereka akan kembali. Saya pasti tentang perkara ini," katanya, menambah dengan mengambil tindakan terhadap mereka tidak akan menyelesaikan masalah.

Mawan berjanji kepada ahli-ahli dewan undangan negeri bahawa mereka akan dicalunkan bagi mempertahankan kerusi mereka.

"Tetapi sudah tentu, ianya bergantung kepada keputusan BN. Jika sesiapa, termasuk saya sendiri, tidak boleh memenangi kerusi, maka kami akan diganti. Kami memilih calun-calun yang boleh memenangi kerusi," tambah beliau.

Tiada ulasan: