Hashim Abdullah |
TEMERLOH: Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dituntut membuat permohonan maaf secara terbuka kepada masyarakat Orang Asli kerana pernah mengeluarkan kenyataan bersifat penghinaan terhadap mereka. Tuntutan oleh masyarakat Orang Asli itu dibuat dalam sidang akhbar khas bersama pimpinan Pakatan Rakyat kawasan Pahang Barat yang diadakan di Pejabat Badan Perhubungan PAS Negeri Pahang, di sini, petang tadi. Hadir sama dalam sidang akhbar tersebut Setiausaha Badan Perhubungan PAS Pahang, Roslan Zainal al-Ahmadi, Ketua Cabang PKR Temerloh, Ahmad Nizam Abdul Hamid dan Ketua Cabang PKR Raub, Mohd Ali Wahid. Shafie pernah membuat kenyataan yang disifatkan Orang Asli sebagai menghina mereka apabila menyifatkan kehadiran kira-kira 2,000 masyarakat mereka di Putrajaya Mac lalu bertujuan untuk berjalan-jalan atau makan angin sedangkan sebenarnya kehadiran mereka untuk memperjuangkan hak. Wakil masyarakat Orang Asli, Yusri Ahon berkata tindakan Shafie yang menyifatkan kehadiran mereka pada perhimpunan di Putrajaya Mac lalu bagi menyerahkan memorandum perjuangan hak mereka sebagai kehadiran untuk pergi makan-makan adalah merupakan penghinaan yang dikesalkan. ”Saya nak katakan kekesalan masyarakat Orang Asli terhadap kenyataan Datuk Shafie Apdal bahawa masa berhimpun di Putrajaya dulu sebagai pergi makan-makan. Ini amat kita rasa kesalkan, kalau boleh kita minta beliau minta maaf,” katanya. Tambah Yusri, tuduhan kononnya kehadiran masyarakat Orang Asli ke Putrajaya akibat dihasut oleh pihak tertentu adalah tidak benar kerana mereka sendiri sudah ramai yang berpendidikan tinggi serta mempunyai kesedaran terhadap perjuangan menuntut hak. ”Kalau kita katakan semasa kita berhimpun di Putrajaya sebagai dihasut atau dipengaruhi pihak tertentu, sebenarnya Orang Asli ini sudah banyak yang cerdik pandai. Sebagai contoh ada Orang Asli yang sudah jadi profesor, doktor dan sebagainya. Jadi persoalan ini tidak perlu timbul lagi,” katanya. |
Rabu, 14 April 2010
Orang Asli tuntut Shafie Afdal mohon maaf
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan