Rabu, 14 April 2010

Gegar buat laporan polis JPP agih wang ehsan

Hafiz Irwan


KOTA BHARU: Gerakan Bertindak Kembalikan Royalti Rakyat (Gegar) hari ini membuat satu laporan polis berhubung penyalahgunaan kuasa oleh Kerajaan Persekutuan dalam pembahagian wang rakyat melalui Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) dengan menggunakan nama wang ehsan.

Pengerusi bersama Gegar, Dr Abdul Halim Yusof yang bertindak membuat laporan tersebut supaya pihak polis membuat siasatan terhadap program pengagihan wang ehsan yang diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Hamzah 1, Machang pada 3 April, dalam Program Juara Rakyat peringkat Kelantan seperti mana dilaporkan dalam akhbar Utusan Malaysia bertarikh 4 April lalu.

Abdul Halim membuat laporan tersebut kerana meragui wang ehsan yang telah diagihkan itu adalah dikatakan wang hasil penggerudian petroleum dari kawasan perairan Kelantan.

Merujuk Akta Pembangunan Petroleum 1974, Abdul Halim meminta pihak polis menyiasat hal itu dalam tiga aspek iaitu, penggunaan dan pengagihan wang ehsan tersebut, pengagihan wang melalui agensi Kerajaan Persekutuan dan tidak melalui kerajaan negeri sebagaimana maksud akta tersebut dan kaedah pengagihan wang ehsan dan bagaimana ia diakaunkan.

“Sekiranya wang ehsan tiada kaitan dengan penghasilan petroleum, saya mohon polis menyiasat peruntukan 25 juta untuk wang ehsan ini adakah diperuntukkan melalui bajet yang diluluskan Parlimen melalui Akta Bekalan?

“Saya mengharapkan penyiasatan dibuat untuk memastikan ketelusan dan tiada penyelewengan dalam penggunaan wang rakyat,” katanya ditemui selepas laporan tersebut dibuat.

Abdul Halim yang diiringi kira-kira 30 penyokong membuat laporan tersebut di Ibu Pejabat Polis (IPD) Kota Bharu, di Pengkalan Chepa, kira-kira 5.30 petang ini.

Pemuda PAS negeri turut hadir sama sebagai tanda sokongan terhadap hasrat murni Gegar itu.

Sebagai rakyat Kelantan, Abdul Halim menegaskan laporan berkenaan dibuat atas rasa rasa tanggungjawab yang mahukan agar segala hasil bumi Kelantan dapat dinikmati oleh seluruh rakyat negeri ini secara sama rata.

“Saya yakin pihak bertanggungjawab akan bertindak adil dengan laporan ini,” ujarnya.

Tiada ulasan: