Rabu, 28 April 2010

PAS terima Snap sebagai anggota baru PR

Harakahdaily


KUALA LUMPUR: PAS sedia menerima Parti Kebangsaan Sarawak (Snap) sebagai anggota baru dalam Pakatan Rakyat (PR) walaupun sehingga kini cadangan itu belum lagi dibincang secara rasmi di peringkat pusat.

"Walaupun tiada perbincangan rasmi, kami rasa ia tidak ada masalah kerana kita sedia menerima semua parti kecuali yang menyokong Yahudi sahaja," kata Datuk Mustafa Ali, Setiausaha Agung PAS (gambar).

Mustafa mengulas pengumuman Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini yang memberitahu, Snap akan menjadi anggota Pakatan Rakyat.

"Tugas pertama Snap adalah untuk memastikan calon Pakatan Rakyat dari DAP menang pilihan raya Sibu," kata Anwar dalam satu majlis.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng telah mengumumkan Pengerusi DAP Sarawak, Wong Ho Leng (kanan) sebagai calon Pakatan Rakyat dalam pilihan raya kecil Sibu.

Turut serta dalam majlis pengumuman itu adalah pemimpin komponen PR diwakili oleh Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali, Timbalan Pengerusi PKR Sarawak Zainal Abidin dan Johnny Wong dari SNAP yang menganggotai PR.

PR Sarawak telah dibentuk secara rasminya pada 18 April lepas yang terdiri dari DAP, PKR, PAS dan Snap.

Dalam pilihan raya umum lalu, calon DAP dan PKR masing-masing menentang calon BN di situ menyebabkan kedua-dua mereka kalah.

Dalam pilihan itu, Wong dan calon PKR Lim Chun Chung tewas kepada calon BN, Datuk Robert Lau Hoi Chew dengan majoriti 3,549 undi.

Kerusi parlimen Sibu kini kosong ekoran kematian penyandangnya Robert akibat barah pada 9 April lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan penamaan calon bagi pilihan raya kecil itu pada 8 Mei dan pengundian pada 16 Mei.

Sibu mempunyai 54,695 pengundi berdaftar termasuk 2,537 undi pos.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof menyatakan SPR menggunakan Daftar Pemilih Induk 2009 yang dikemaskini pada 9 April 2010.

Pengundi berdaftar seramai 54,695 termasuk 2,537 pengundi pos. Antaranya 1,910 anggota tentera dan 627 anggota polis yang bertugas semasa pilihan raya berlangsung.

SPR telah memilih 45 pusat mengundi yang sesuai iaitu sekolah, tadika, pusat latihan, rumah panjang, perpustakaan awam dan pusat rekreasi awam. Proses pengeluaran dan pengiraan undi pos akan dibuat di Pejabat Daerah Sibu.

Pegawai pengurus pilihan raya ini ialah Pegawai Daerah Sibu, Wong See Meng.

Tiada ulasan: