Sabtu, 20 Februari 2010

Perlukah letak jawatan?

Oleh Zulkiflee Bakar

Tetapi apa yang anehnya istilah letak jawatan ini, seolah-olah hanya sah untuk wakil rakyat pembangkang yang keluar parti sahaja, tetapi kalau ada wakil rakyat Barisan Nasional (BN) berbuat demikian, tiada pula kita mendengar ada gesaan supaya langkah itu dilakukan.

Demikian yang berlaku apabila Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim bertindak keluar dari Parti Keadilan Rakyat (PKR). Beliau digesa meletakkan jawatan bagi membolehkan pilihan raya kecil diadakan.

Ia kerana menurut tafsiran pemimpin-pemimpin pembangkang, tindakan beliau adalah satu pengkhianatan kepada amanah yang diberikan oleh rakyat pada pilihan raya umum yang lalu.

Sebelum ini, empat wakil rakyat PKR dan seorang DAP telah berbuat demikian iaitu ADUN Lunas Mohd. Radzi Salleh dan ADUN Pelabuhan Klang Badrul Hisham Abdullah, ADUN Behrang, Jamaluddin Mohd. Radzi dan ADUN Changkat Jering, Kapten (B) Mohd. Osman Jailu serta ADUN Jelapang, Hee Yit Foong. Mereka juga menerima desakan yang sama.

Persoalannya, berdasarkan senario politik yang berlaku pada dan selepas Mac 2008, masih relevankah desakan seumpama itu?

Ia kerana jika diperhatikan pendirian rakyat dalam membuat keputusan memilih siapa wakil rakyat mereka selepas tahun berkenaan, ia tidak lagi berdasarkan kepada faktor parti semata-mata.

Sebaliknya, rakyat membuat keputusan berlandaskan kepada faktor lain ia termasuklah dalam soal isu dan calon.

Jika diperhatikan pada tahun 2004, BN menang besar kerana majoriti rakyat ingin memberi peluang kepada kepimpinan baru negara, ertinya senario ketika itu adalah asalkan BN tidak kira siapa pun calon atau apa juga isu, BN tetap jadi pilihan utama.

Tetapi senario pilihan raya umum 2008 berubah, walaupun BN masih lagi berkuasa tetapi ia dianggap mengalami kekalahan paling teruk dalam sejarah apabila bukan sahaja kehilangan majoriti dua pertiga di Parlimen, malah turut kehilangan kuasa memerintah di Kedah, Perak dan Selangor, selain Pas terus berkuasa di Kelantan.

Apa yang berlaku pada Mac 2008 adalah walaupun rakyat yakin bahawa BN adalah gabungan terbaik berbanding pakatan pembangkang yang terdiri daripada PKR, DAP dan Pas tetapi mereka tetap menolak BN setelah melihat apa yang berlaku sepanjang tempoh antara 2004 hingga 2007.

Mereka tidak berpuas hati dengan kerajaan BN yang dilihat gagal memenuhi apa yang dijanjikan, justeru apabila pilihan raya maka wujudlah senario asalkan bukan BN, mereka akan sokong.

Ketika membuat keputusan itu, sebahagian rakyat tidak melihat kepada parti atau individu, sebaliknya ingin memberi pengajaran kepada BN.

Senario yang berlaku itu jelas membuktikan bahawa perhitungan rakyat dalam memilih siapa wakil rakyat mereka tidak lagi seperti mana tahun-tahun terdahulu yang banyak bergantung kepada parti.

Kita juga tidak boleh menafikan di sesetengah kawasan, faktor individu memainkan peranan penting. Contoh paling mudah ialah Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah, walaupun pernah bertanding atas tiket Parti Melayu Semangat (S46), namun beliau tetap menang di kawasan berkenaan.

Begitu juga Datuk Shahrir Abdul Samad yang suatu ketika pernah bertanding sebagai calon bebas tetapi tetap menjadi pilihan pengundi di kawasannya.

Justeru desakan supaya seseorang wakil rakyat meletakkan jawatan apabila keluar parti masih boleh diperdebat dan dipersoalkan.

Apa yang perlu diingat, selepas Mac 2008, faktor individu seolah-olah menjadi penentu utama kemenangan sesebuah parti dalam pilihan raya. Ini terbukti apabila dalam sembilan pilihan raya kecil yang diadakan setakat ini, ia menunjukkan calon memainkan peranan penting.

Dalam soal ini, BN dikatakan menerima nasib paling malang, biarpun diyakini sebuah parti berwibawa tetapi pengundi tetap menolaknya kerana ditafsirkan silap memilih calon.

Malahan atas faktor calon juga, ia memungkinkan BN menang di DUN Batang Ai dan Bagan Pinang. Begitu juga Pas dan PKR, mereka menang di tujuh pilihan raya kecil yang diadakan turut melibatkan faktor calon.

Kalaulah faktor calon tidak memainkan peranan penting kenapakah dalam setiap pilihan raya kecil, pembangkang sering melakukan serangan peribadi sama ada ke atas calon atau pemimpin BN? Kenapakah serangan tidak dilakukan kepada parti semata-mata?

Oleh itu adalah sesuatu yang boleh dipersoalkan apabila seseorang ADUN atau Ahli Parlimen keluar parti, beliau didesak meletakkan jawatan, sedangkan tindakannya dilakukan kerana merasakan parti yang diwakilinya sudah lagi tidak membawa aspirasi rakyat.

Kalaulah hujah mengkhianati rakyat hendak diguna pakai, bukankah tindakan seorang wakil rakyat itu bersikap mulia apabila membuat keputusan keluar parti selepas beliau mendapati partinya tidak lagi mampu membela nasib rakyat seperti mana dijanjikan dalam pilihan raya.

Ia kerana apabila rakyat memberikan kemenangan melalui undi, maka mereka sudah tentu mengharapkan parti yang diwakili oleh wakil rakyat itu mampu membela nasib mereka.

Kalaulah benar pemimpin pembangkang hendak menganggap keluar parti adalah satu pengkhianatan kepada rakyat, bagaimana pula dengan wakil rakyat yang didakwa kurang moralnya.

Tidakkah itu juga boleh dikategorikan sebagai pengkhianatan kepada amanah rakyat memandangkan semasa rakyat memilih wakil rakyat berkenaan mereka mengharapkan calon itu seorang yang bersih peribadinya?

Apa yang lebih boleh dipertikaikan kenapakah desakan meletakkan jawatan ini hanya dizahirkan apabila ada wakil rakyat pembangkang keluar parti. Kita tidak pula mendengar desakan yang sama apabila ada wakil rakyat BN berbuat demikian.

Begitu juga apabila Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menguar-uarkan mengenai penubuhan kerajaan pada 16 September tahun lalu yang sudah pastinya melalui gerakan lompat parti, tidak ada pula pemimpin pembangkang berkata, ahli Parlimen yang terlibat akan 'menanggung dosa sebanyak jumlah undi yang diberikan oleh rakyat.'

Dalam soal ini, pemimpin pembangkang perlu lebih jujur dan tidak bermain politik terlalu banyak. Janganlah apabila sesuatu perkara itu menguntungkan mereka, maka ia dianggap satu kebenaran dan kehendak rakyat tetapi apabila melibatkan keuntungan kepada BN, ia disifatkan satu pengkhianatan kepada rakyat.

Justeru adalah jelas desakan meletak jawatan yang dibuat oleh pemimpin-pemimpin pembangkang kepada wakil rakyat mereka yang keluar parti hanyalah satu retorik atau lebih tepat lagi, lambang sikap hipokrit dan 'double standard' pembangkang.

Inilah sikap yang boleh dikategorikan sebagai matlamat menghalalkan cara atau dalam bahasa politik, 'kau buat haram, aku buat halal.'

Adalah lebih baik jika pemimpin pembangkang bersikap terbuka dalam soal ini. Jika mereka sentiasa yakin bahawa parti mereka mendapat sokongan rakyat, maka mereka tidak perlu khuatir.

Apabila pilihan raya nanti, wakil rakyat yang keluar parti itu sudah tentu akan mengetahui sama ada kemenangannya kerana parti atau faktor lain.

Sementara menanti saat itu, biarlah wakil rakyat berkenaan meneruskan kariernya tanpa gangguan, apatah lagi kalau gangguan itu berdasarkan hujah berat sebelah.U/M

Tiada ulasan: