Khamis, 18 Februari 2010

Kerajaan tidak serius promosi taman herba

Harakahdaily


BATU GAJAH: Di negeri Perak, terdapat banyak tempat rekreasi dan riadah, salah satu daripadanya ialah Taman Herba Papan yang terletak lebih kurang lima kilometer dari pekan Papan.

Taman herba itu terletak di bawah kelolaan Jabatan Perhutanan Negeri Perak, namun agak menyedihkan kerana ditutup pada hari-hari cuti umum.

Contohnya, pada hari cuti umum Tahun Baru Cina, ianya ditutup kepada orang ramai, Speaker Dun Perak, V Sivakumar.

Menurutnya, pada masa itu beratus-ratus orang mengunjungi kawasan air terjun di hutan lipur yang bersebelahan taman herba itu tetapi tidak berpeluang memasukinya.

Katanya, kerajaan negeri telah membelanjakan berpuluh-puluh ribu ringgit untuk mewujudkan taman herba itu tetapi ia tidak dipromosikan dengan cara yang betul, tambahan pula ia ditutup pada hari yang mempunyai ramai pengunjung.

“Ini membuktikan kerajaan negeri tidak serius untuk mempromosikan industri pelancong di negeri ini.

“Saya yakin ramai orang Perak mahupun penduduk di sekitar radius 50 kilometer tidak mengetahui kewujudan taman ini,” ujarnya.

Menurutnya, jika kerajaan menggunakan wang rakyat, ia seharusnya dan sepatutnya mendatangkan manfaat kepada rakyat.

Jika tidak, katanya ia merupakan satu pembaziran dan merugikan rakyat.

Sementara itu, beliau turut meluangkan masa melawat rumah dan beberapa tempat awam sempena sambutan Tahun Baru Cina.

Katanya, tujuan lawatan itu adalah untuk mengeratkan hubungan beliau selaku Adun dengan para penduduk.

Antara tempat yang dilawatinya ialah Kampung Baru Simpang Pulai, Kampung Baru Bemban, Kampung Baru Bali, Kampung Baru Nalla, Pekan Pusing serta sekitar bandar ini.

(Gambar: Sivakumar bersama penduduk di sebuah kedai kopi Kampung Baru Bali)

Tiada ulasan: