Selasa, 2 Februari 2010

Hasil bedah siasat kedua Beng Hock 19 Feb

SINAR HARIAN ONLINE


SHAH ALAM – Hasil bedah siasat kedua Teoh Beng Hoc:k, bakal diketahui pada 19 Februari depan selepas Mahkamah Koroner di sini, semalam menetapkan untuk Ketua Patologi Hospital Sungai Buloh, Dr Shahidan Md Noor memberi keterangan pada tarikh tersebut.

:Koroner Azmil Muntapha Abas menetapkan tarikh berkenaan selepas memutuskan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Raub Ghani yang membuat laporan polis terhadap pakar forensik Thailand, Dr Pornthip Rojasunand berhubung kebocoran maklumat bedah siasat kedua itu, tidak akan dikenakan tindakan menghina mahkamah.

Pada masa sama, Azmil sekali gus menolak permohonan abang Beng Hock, Teoh Meng Kee supaya pegawai berkenaan dikenakan tindakan menghina mahkamah kerana membuat laporan polis untuk menakutkan Dr Pornthip.

Semasa keputusannya, Azmil mengambil kira keputusan Peguam Negara yang mendapati tiada kes untuk mendakwa Dr Pornthip atas dakwaan membocorkan maklumat kepada akhbar Suara Keadilan setelah polis menjalankan siasatan ke atas laporan Raub.

Terdahulu, Azmil memberi keputusan itu setelah selesai mendengar hujahan peguam SPRM, Datuk Abdul Razak Musa dan Peguam Meng Kee, Karpal Singh berkaitan perkara itu.

Azmil kemudian menetapkan inkues, disambung semula untuk Dr Shahidan memberi keterangan.

Pada 22 November tahun lalu, Dr Shahidan mengetuai pembedahan kali kedua mayat Beng Hock selepas kuburnya dibenarkan digali semula sehari sebelum itu.

Pakar lain yang terlibat dalam pembedahan itu adalah Dr Pornthip yang menjadi pemerhati bagi Kerajaan Selangor dan pakar pemerhati SPRM, Profesor Dr Peter Vanezis dari United Kingdom.

Beng Hock, 30, Setiausaha Politik kepada Exco Selangor, Ean Yong Hian

Wah ditemui mati di luar koridor Tingkat Lima, Plaza Masalam, di sini, 16 Julai tahun lalu selepas dipercayai terjatuh dari pejabat SPRM di Tingkat 14, bangunan sama.

Kematiannya menimbulkan pelbagai spekulasi dan kontroversi berikutan kejadian berlaku kira-kira 12 jam selepas beliau memberi keterangan kepada SPRM mengenai dakwaan penyelewengan wang oleh majikannya itu.

Terdapat khabar angin mengatakan bahawa beliau tidak membunuh diri tetapi dibunuh.

Tiada ulasan: