Sabtu, 6 Februari 2010

Demokrasi kampus bukan sekadar pilihan raya

Oleh Lim Hong Siang


Seandainya tidak berani untuk berdepan dengan pilihan raya kampus (PRK), apatah lagi nak berbincang tentang perubahan negara?

Soalan ini dilontarkan oleh penganalisa politik, Jason Leng Kek Mun ketika mengulas pelbagai sekatan yang dikenakan dalam PRK, termasuklah tempoh kempen yang pendek, sistem e-voting diperkenalkan tetapi kempen melalui facebook dan youtube dilarang dan sebagainya. Kesemua sekatan ini disimpulkan sebagai ketakutan pihak tertentu kepada PRK.

Tanpa menyebut nama parti, tetapi secara tersiratnya merujuk kepada "parti yang menguar-uarkan "KPI (Indeks Prestasi Utama)" dan "NKRA (enam teras Bidang Keberhasilan Utama Negara)", Jason Leng mempertikaikan keberanian pemimpin parti pemerintah untuk membawa perubahan kepada negara, sedangkan tidak berani untuk berdepan dengan PRK.

Pertikaian tersebut dihangatkan dalam forum berjudul "Di manakah Demokrasi Kampus?", anjuran bersama beberapa pertubuhan dalam kampus dengan Pemuda Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor, semalam. Selain Jason Leng, forum ini turut membariskan Ketua Penerangan AMK Lee Khai Loon, Timbalan Ketua Biro Perancangan Strategi Pemuda MCA Ng Kian Nam dan Setiausaha Pemuda Gerakan Dominic Lau Hoe Chai sebagai ahli panelnya. Forum yang dipengerusikan oleh penganalisa politik, Shawn Tan Shaew Chiean ini dihadiri kira-kira 70 orang.

Pertikaian terhadap sistem e-voting

PRK baru-baru ini menjadi tumpuan masyarakat, berikutan daripada bantahan golongan pro-mahasiswa di IPTA terhadap pihak Bahagian Hal Ehwal Pelajar yang mengendalikan PRK. Sistem e-voting, antara yang paling dipertikaikan, telah menjadi pencetus perdebatan.

Dominic Lau yang sebelum ini mengeluarkan kenyataan untuk menyokong sistem e-voting tersebut, menjadi sasaran kritikan semalam. Beliau pernah bertemu dengan Timbalan Naib Canselor UM untuk mengetahui secara lanjut tentang sistem tersebut, menjelaskan kepada audien bahawa beliau diberitahu TNC, keputusan PRK tidak boleh diubahsuai, malah wakil pelajar dibenarkan untuk memantau data pengundian.

Berhubung fungsi "trace back" yang boleh mendedahkan "kerahsiaan" undi, beliau mendakwa TNC memberi penjelasan bahawa fungsi itu disediakan untuk tujuan semakan semula jikalau pelajar tidak berpuas hati dengan keputusan PRK dan membuat rayuan. Malah, TNC berjanji bahawa kelemahan tersebut (kerahsiaan terjejas) boleh diperbaiki dalam PRK tahun depan.

Untuk Dominic Lau, beliau gagal membayangkan apa perlunya seseorang Naib Canselor universiti untuk memanipulasikan keputusan PRK, malah tidak percaya bahawa wujudnya keadaan di mana "jikalau tak undi calon tertentu, maka pengundi itu akan dihalau dari asrama".

"Seandainya Naib Canselor pun anda tidak percaya, maka tak ada apa-apa lagi yang boleh saya katakan," ujar Dominic Lau, yang enggan berucap sebagai Setiausaha Pemuda Gerakan.

Tuntutan sistem demokrasi

Walau bagaimanapun, pandangan Dominic Lau disanggah oleh ahli panel seterusnya, Jason Leng bahawa "kita menuntut satu sistem yang demokrasi kerana ketidakpercayaan kita terhadap pemerintahan perseorangan", bahkan beliau menambah, "Kita tak boleh menaruh kepercayaan selagi dia adalah manusia!"

Menyedari budaya masyarakat kita amat menyanjung Naib Canselor, Jason Leng bagaimanapun mengajak Dominic Lau untuk meneliti masalah sistem e-voting dan kewibawaan NC dalam konteks realiti.

"Apakah syarat perlantikan NC? NC yang dilantik oleh siapa? NC yang bertanggungjawab kepada siapa? Siapa yang berkuasa untuk melucutkan jawatan NC? Bagaimana pula NC melindungi periuk nasinya?" tanya Jason Leng.

Sebelum ini, Timbalan Ketua Biro Perancangan Strategi Pemuda MCA Ng Kian Nam yang mengambil pendirian "atas pagar" dalam isu e-voting, juga mempersoalkan kewibawaan "Suruhanjaya Pilihan Raya Kampus" dalam mengendalikan PRK. Ng Kian Nam enggan mengulas lanjut dari perspektif teknikal, tetapi mendakwa bahawa masalah e-voting PRK berpunca daripada "Suruhanjaya Pilihan Raya Kampus" yang tidak "berkecuali".

Ng Kian Nam mempertikaikan sejauh mana pihak pengurusan universiti boleh meyakinkan siswa-siswinya dalam penggunaan sistem e-voting, sedangkan HEP telah memperlihatkan "motif" mereka yang tidak betul sebermulanya. Malah, Ng Kian Nam mempersoalkan bagaimana kita boleh percaya kepada pihak HEP yang sering mengkaji bersama "parti pemerintah tertentu", memikirkan cara untuk menumbangkan calon dari pro-mahasiswa?

"Sumbangan" pencabulan demokrasi kampus

Secara sinisnya, bekas Presiden Persatuan Bahasa Cina UM ini menyindir bahawa "kampus yang tidak demokrasi telah menyumbang kepada sistem dua parti di peringkat negara". "Kalau kita fikir secara positif, ketidak-demokrasian dalam kampus telah menyumbang kepada pendemokrasian negara. Pertamanya, banyak wakil rakyat Pakatan Rakyat yang berumur 20-an dan 30-an lahir daripada mereka yang mengalami ketidakadilan dalam kampus."

Ng Kian Nam (gambar kanan) sambung, "keduanya, mereka yang asalnya menyokong BN, tetapi setelah melalui atau melihat sendiri ketidakadilan dalam kampus, mereka menjadi penyokong pembangkang setelah tamat pengajian."

Jason Leng juga berpendapat bahawa masalah pencabulan demokrasi kampus perlu diperbetulkan sehingga ke akar umbinya, melalui "kertas undi yang lebih besar (nilainya)" ketika pilihan raya umum (di luar kampus). Beliau menganggap bahawa PRK sekadar sebahagian daripada percaturan politik dalam konteks negara.

Demonstrasi hanya langkah permulaan...

Lee Khai Loon pula menegaskan bahawa "demokrasi kampus" bukan sekadar "pilihan raya kampus", tetapi lebih luas daripada itu. Beliau mempersoalkan mengapa "Suruhanjaya PRK" ditubuhkan oleh HEP, tetapi bukan siswa-siswi sendiri; malah mendakwa bahawa "wakil pelajar yang terpilih" semakin terbatas had kuasanya.

"Di bawah sistem sedemikian, meskinpun pro-mahasiwa menang kesemua kerusinya, had kuasa anda masih terbatas. Anda perlu mendapatkan tandatangan (kebenaran) Naib Canselor bila menggunakan wang," katanya.

Lee Khai Loon mengeluh bagaimana hak dan kuasa pelajar terhakis dalam kampus, sehingga tidak terlibat dalam proses penggubalan dasar dalam universiti. Walaupun beliau mengiktiraf tindakan siswa-siswi yang berdemo untuk membantah sistem e-voting, tetapi mengingatkan bahawa ianya hanyalah langkah pertama, dan bukannya langkah terakhir.

Beliau berpendapat bahawa siswa-siswi perlu mendapatkan sokongan daripada pelbagai pihak dalam kampus untuk memulihkan demokrasi dalam kampus, yang mana pelajarnya harus mempunyai autonomi dalam pentadbiran kampus.

*Lim Hong Siang ialah Editor MerdekaReview, edisi bahasa Melayu.

Tiada ulasan: