Khamis, 31 Mei 2018

Siapa ulamak dilantik kaji kedudukan Jakim?

Manzaidi Mohd Amin
Pas pertahankan Jakim kerana agensi itu berjaya memainkan peranan meningkatkan syiar Islam.
Pas pertahankan Jakim kerana agensi itu berjaya memainkan peranan meningkatkan syiar Islam.
 

KUALA LUMPUR – Pas sedia untuk ke hadapan menjadi benteng pertahanan jika institusi Islam seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) diserang atau hendak dilumpuhkan kuasanya oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Menurut Pegawai Pusat Penyelidikan Pas, Syed Ahmad Fadhli, parti itu tidak akan memandang ringan jika ada usaha mencabar mahupun mengganggu gugat kedudukan Islam, kerana ia berkait dengan sistem perundangan.

Beliau berkata, Pas mengambil pendirian tegas itu kerana dapat merasakan ura-ura berita berkenaan pemansuhan Jakim seperti ada asasnya.

“Sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), sudah pun timbul suara lantang kelompok Islam liberal yang mendesak Jakim dimansuhkan, kononnya atas sebab kewujudannya tidak berperlembagaan.

“Semalam pula, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengumumkan kewujudan Jakim sedang dikaji semula, sama ada akan dikekalkan atau diteliti semula cara pelaksanaannya,” katanya yang dipetik menerusi akaun Twitter beliau hari ini.

Syed Ahmad turut mempersoalkan siapakah barisan ulamak yang dilantik oleh kerajaan PH untuk mengkaji kedudukan Jakim.

“Adakah kedudukan Islam sebagai agama persekutuan sepertimana yang disebut dalam Perkara 3 Perlembagaan Malaysia itu bermaksud Religion mengikut tafsiran sekularisme Barat atau ad-din yang sempurna sistem kehidupan mengikut acuan Islam?

“Adakah kerajaan PH menyamaratakan kedudukan agama Islam yang dianuti oleh majoriti rakyat negara ini dengan agama lain?

“Dan, adakah kerajaan PH mahu menjadikan Islam sekadar simbolik urusan rasmi seperti bacaan doa dan sambut perayaan sahaja?” soal beliau.

Beliau berkata, Jakim ditubuhkan secara berperlembagaan dan menepati Perkara 3, Perkara 12(2), Perkara 121(1A) dan Sumpah Jawatan Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 37(1) Perlembagaan Persekutuan.

Jakim katanya, adalah agensi yang menguruskan dana awam pembangunan agama Islam berdasarkan peruntukan Perkara 12(2) Perlembagaan Persekutuan dan berada bawah seliaan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Kata Syed Ahmad, terdapat banyak peruntukan berkaitan agama Islam dan hak orang Melayu yang disebut secara jelas dan nyata dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Antaranya, Islam sebagai agama Persekutuan seperti hak kebebasan menganut, mengamalkan dan menyebarkan Islam, menggunakan dana awam bagi tujuan Islam, kedudukan terpelihara Mahkamah Syariah dan penetapan hal ehwal Islam terletak dalam bidang kuasa negeri.

“Kita berharap kerajaan PH tidak tersilap langkah dalam mencatur masa depan Jakim dan wajar diperingatkan Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja juga berperanan penting dalam hal berkaitan agama kerana Agong adalah ketua agama Islam bagi Malaysia, Wilayah Persekutuan dan negeri tidak beraja, manakala sultan adalah ketua agama Islam bagi negeri masing-masing,” katanya. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: