Isnin, 14 Mei 2018

Rafidah: Tony jadi mangsa kerana tolak peletakan jawatan saya

Rafidah Aziz

   
ULASAN | Ke hadapan semua, dengan Pakatan Harapan (HARAPAN) sudah memenangi undi rakyat dan dengan izin tuhan, sampai masanya saya ceritakan hal yang sebenar.

Saya kini boleh mendedahkan fakta di sebalik "pertimbangan silap" Tony Fernandes menjadikan Airasia x (AAX) sebagai kapal terbang untuk bekas perdana menteri berulang alik ke Kota Kinabalu (ketika waktu berkempen).

Saya tidak ingin mengimbas kembali perkara ini. Ia hanya buat saya marah. Tapi kebenaran perlu didedahkan.

Tony dan Kamarudin Meranun, dua individu yang menjadikan AirAsia jenama antarabangsa, ingin berjumpa saya untuk berbincang "hal yang penting". Saya menjemput mereka bersarapan. Ketika itu, saya sudah boleh agak ia tentang apa.

Initipatinya adalah, mereka datang untuk menyampaikan pesanan daripada pegawai bekas perdana menteri bahawa saya, Rafidah Aziz, perlu berhenti "menyerang" perdana menteri ketika itu.

Saya pengerusi AAX. Gambaran yang diberikan adalah sekiranya saya bertegas, maka akan ada "akibatnya".

Saya jawab Tony dengan mudah: Saya maklum dengan pesanan yang disampaikan. Terima kasih. Pesanan diterima.

Tolong beritahu mereka bahawa saya akan terus bersuara. Tidak kisah sesiapa pun, tak ada sesiapa yang boleh menghalang saya daripada mengatakan fakta dan kebenaran.




Saya beritahu Tony dan Kamarudin bahawa jika mereka rasa terlalu tertekan, saya akan letak jawatan.

Saya beritahu mereka bahawa bukan saya yang minta jawatan itu. Tony enggan mendengar perkara itu. Kedua-dua mereka menolak cadangan untuk saya meletak jawatan.

"Kami sayang Tan Sri Rafidah," kata Tony. Saya tersentuh. Saya malah kata "tak apa, tuhan akan balas dekat mereka."

Sebaliknya, ugutan itu, buat saya lebih bersemangat, dan rekod menunjukkan saya lebih lantang bersuara.

Namun, yang saya tidak tahu, Tony menerima "akibat" daripada kegagalannya untuk "buat saya letak jawatan". Kini kita semua tahu kisah itu.

Tony tidak memberitahu saya bahawa dia cuba untuk "menenangkan" perdana menteri dan pegawai-pegawainya ketika itu. Dia tahu jika saya tahu, saya akan membantah tindakannya.

Semua orang kini tahu apa yang terjadi. Tony menjadi mangsa.

Cukup saya katakan Tony menerima teguran keras daripada saya kerana dia tidak beritahu saya tentang kapal terbang itu.

Tuhan akan sentiasa buktikan bahawa yang benar akan menang. Di mana mereka sekarang? Manusia yang fikir mereka bayangan tuhan?

Saya ingin nyatakan setinggo-tinggi penghargaan kepada Tony dan pasukannya, kerana menanggung akibat bagi pihak saya.

Tony tidak perlu sampai ke tahap itu untuk menenangkan manusia-manusia seperti itu, yang akhirnya tersungkur - dengan izin tuhan yang membuka hati dan minda rakyat untuk menukar pemerintahan negara.

Tapi Tony telah melakukannya.

Sebab dia tahu saya lakukan hal yang betul, dan dalam masa sama, dia perlu hentikan 'mereka' daripada terus mengancam untuk menjejaskan AirAsia dan AAX yang mana saya adalah pengerusinya.

Sudah tentu, jika Tony ketika itu memohon maaf kepada mereka atas alasan apa pun, peletakan jawatan saya akan menyusul 10 minit selepas itu.

Tony hanya cuba menenangkan pihak tertentu. Silapnya adalah tidak memberitahu saya. Dan untuk itu, dia sudah menerima teguran keras daripada saya. Tiada yang peribadi, hanya teguran kerana silap pertimbangannya atau seperti yang saya katakan kepadanya "kebodohannya"

Tapi semua itu sudah berlalu. Saya tidak mengulas perkara itu sebelum ini kerana kita semua perlu mengutamakan masa depan negara.

Kini, setelah semuanya sudah berakhir, saya ingin menyeru semua agar terus memberi sokongan kepada AirAsia. Tolong benarkan kami untuk menguruskan penerbangan anda seperti sebelum ini.

Malah, dengan kerajaan baru di bawah Tun Dr Mahathir Mohamad, kita boleh jangkakan suasana operasi yang lebih mesra, dan kekangan yang dihadapi oleh industri penerbangan boleh dikurangkan dan dihapuskan.

Kami boleh berkhidmat kepada anda dengan lebih baik. Sama-sama kita melihat ke depan dengan positif, dan mari kita tinggalkan yang keruh dari kerajaan sebelum ini di belakang.

AirAsia akan, insya-Allah, akan terbang di langit yang lebih selepas ini.


Tan Sri Rafidah Aziz merupakan pengerusi AirAsia X dan bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri.

Tiada ulasan: