Isnin, 14 Mei 2018

PAS harap PH tak warisi sikap BN sekat peruntukan pada pembangkang

 
PAS berkata BN tidak menghormati konsep federalisme dan memberikan hak sewajarnya kepada negeri ditadbir pembangkang.

 
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Khairuddin Aman Razali. (Gambar Facebook)


PETALING JAYA: PAS melahirkan harapan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad tidak mewarisi sikap Barisan Nasional (BN) yang menafikan peruntukan kepada negeri yang diperintah pembangkang.

“Saya mengambil kesempatan ini mengucapkan tahniah kepada PH khususnya kepada Dr Mahathir sebagai perdana menteri baharu.

“Harapan PAS agar kerajaan PH tidak mewarisi sikap lama BN yang tidak menghormati konsep federalisme dan memberikan hak-hak sewajarnya bagi setiap negeri meskipun diperintah oleh parti berbeza dengan kerajaan pusat,” kata Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Khairuddin Aman Razali sambil memuji keputusan kerajaan menghapuskan GST sebagai kemenangan rakyat.

Dalam kenyataannya, Khairuddin turut membidas sikap wakil rakyat BN yang bertindak melompat parti kerana tidak menghormati mandat yang diberikan rakyat.

“BN khususnya Umno perlu mengambil peluang untuk menilai kembali parti mereka dan belajar menjadi pembangkang. Tindakan melompat parti perlu dihentikan bagi menghormati mandat rakyat,” katanya.

Khairuddin berkata PAS sedia bekerjasama dengan PH dan BN dalam usaha “membangunkan negara Islam”.

“Malaysia sebagai negara yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan perlu terus memperkukuhkan Islam sebagai teras negara. Ia menjadi tanggungjawab besar kerajaan PH, khususnya ahli parlimen Islam dalam PH.

“Kita perlu bergerak ke arah kesatuan rakyat Malaysia dengan mengenepikan isu-isu picisan politik kepartian,” katanya.

Pada 9 Mei lalu, PH berjaya menumbangkan kerajaan BN apabila gabungan itu berjaya membentuk kerajaan Persekutuan.

Pada pilihan raya Rabu lalu, PH berjaya menawan semua negeri kecuali Pahang dan Perlis yang dimenangi BN, serta Kelantan dan Terengganu yang dimenangi PAS. Sarawak tidak mengadakan pilihan raya peringkat negeri dan masih kekal dengan BN.

Tiada ulasan: